Panasnya Hari Ini

Yapeim Nafi Dakwaan Salah Guna Dana Anak Yatim RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menafikan dakwaan yang mengatakan dana RM1 juta yang dikhususkan untuk membantu anak-anak yatim disalahgunakan bagi membayar yuran guaman pada 2017.

Menurut laporan MalaysiaKini, penafian itu dibuat selepas The Malaysian Insight semalam melaporkan bahawa dana berkenaan dikatakan disalahgunakan bagi membayar yuran guaman seorang peguam yang merupakan pengarah Yapeim dan pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

“Dakwaan RM1 juta disalah guna tidak benar dan ia adalah fitnah.

“Yuran guaman itu tidak diambil dari amanah atau dana anak yatim seperti didakwa.

“Yapeim ada dua dana – am dan amal jariah. Wang yang digunakan untuk yuran guaman diambil dari dana am dan ia bukan berjumlah RM1 juta. Jauh lebih kecil,” kata ketua jabatan penasihat perundangan Yapeim, Adawiyah Abdul Samad.

Adawiyah bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang dibayar bagi yuran guaman itu.

Empat pegawai pengurusan termasuk Adawiyah hadir pada sidang media di pejabat Yapeim di Kuala Lumpur hari ini sebagai mewakili ketua pengarahnya Abibullah Samsudin yang tidak dapat hadir kerana menghadiri program lain.

Tambah Adawiyah, penggunaan wang dari dana am itu diluluskan oleh lembaga pemegang amanah.

Malah, jelas Adawiyah, dana am berkenaan juga turut digunakan untuk membayar gaji dan bonus kakitangan Yapeim.

“Dana am adalah hasil keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan seperti hartanah dan (pelaburan) Ar-rahnu. Yapeim mempunyai 213 cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, Adawiyah juga menegaskan bahawa isu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan Najib.

Semalam, Najib dalam kenyataan di Facebook membidas penggunaan gambar dan namanya dalam laporan The Malaysian Insight berhubung isu itu, dan menyifatkannya sebagai “propaganda jahat” untuk merosakkan imejnya sempena pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada 2017, Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin), yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman dengan mendakwa yayasan itu menyalahgunakan dana Pemangkin untuk menaja bekas menteri di jabatan perdana menteri ke Eropah, AS dan Australia.

Saman itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu.

Sementara itu, menurut Adawiyah, setahun sebelum itu, Yapeim memfailkan injunksi Mareva terhadap Pemangkin yang meninggalkan yayasan itu dengan dana berjumlah RM2.2 juta.

Injunksi Mareva merupakan injunksi sementara yang bertujuan membekukan aset sementara menunggu penyelesaian mahkamah.

Difahamkan, ahli lembaga pemegang amanah yang baru dilantik pada April lalu memutuskan untuk menyelesaikan kes dengan Pemangkin di luar mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");