Membawang Hari Ini

Yusof Haslam Tanggung Kos Rawatan A Galak

KUALA LUMPUR: Penerbit yang juga pemilik syarikat produksi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, memaklumkan pihaknya akan membiayai kos rawatan pelakon, A Galak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jumaat lalu kerana serangan angin ahmar.

Yusof berkata, selain menjadi sahabat karibnya sejak lebih tiga dekad lalu, pelakon itu juga sudah dianggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga besar Skop Productions.

“Paling penting sekarang adalah proses pemulihannya. Soal lain adalah di bawah tanggungjawab syarikat, terutama kos rawatan, termasuk rawatan susulan,” katanya.

Mengulas perkembangan kesihatan pelakon itu, Yusof berkata, A Galak sudah mula menunjukkan perkembangan positif, namun masih dalam pemantauan rapi doktor.

“Alhamdulillah, dia sudah mula menunjukkan perubahan, berbanding beberapa hari lalu. Begitupun, serangan angin ahmar itu menyebabkan pertuturannya kurang jelas.

“Doktor memaklumkan, mungkin tempoh penyembuhannya memerlukan masa yang panjang, namun saya yakin semangatnya kuat untuk cepat sembuh.

“Doktor juga melakukan pemantauan berterusan untuk melihat perkembangan kesihatannya. Sama-sama kita doakan supaya dia kembali sembuh,” katanya.

A Galak atau nama sebenarnya, Zakaria Ahmad, 78, dikejarkan ke sebuah klinik oleh rakan sekerja di Skop Production Sdn Bhd sebelum dihantar ke HKL.

Pelakon yang popular dengan watak Sarjan Misai atau Sarjan Hashim dalam drama bersiri kepolisan, Gerak Khas itu dikatakan berdepan serangan angin ahmar kerana tidak mengambil ubat mengikut jadual.

A Galak yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Singapura mula terbabit dalam dunia lakonan sejak era 1960-an selepas kerap mengikut ibunya, Rokiah Jaafar bekerja di Studio Jalan Ampas.

Bapa kepada lima anak itu seterusnya melangkah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sebagai anak seni sekitar 1980-an dan diterima Datuk Aziz Satar sebagai penjaga konti, sebelum ditawarkan peluang berlakon.

Antara filem yang menaikkan namanya adalah Azura, membawakan peranan ayah bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");