Perak Hari Ini

Ada Agensi Kerajaan Enggan Beri Kerjasama Dengan Ahli Politik PH – Tinagaran

KUALA KANGSAR: Terdapat segelintir agensi kerajaan yang dilihat seolah-olah enggan bekerjasama dengan ahli kepimpinan politik yang menerajui pentadbiran kerajaan masa kini.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran berkata ada juga sesetengah pegawai kerajaan yang dilihat sengaja melambatkan proses yang melibatkan urusan bantuan dan kelulusan.

Katanya perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana semua pihak harus akur kepada keputusan bahawa Pakatan Harapan (PH) kini adalah parti yang menerajui kerajaan.

“Saya menyeru kepada semua agensi kerajaan. Kita kini adalah ‘politcal master’ hari ini. Suka atau tidak anda harus bekerjasama dengan kami.

“Kerana kami yang kena jawab kepada rakyat. Apabila sesebuah pentadbiran itu tidak dapat berjalan dengan baik, persepsi bukan kepada bahagian pentadbiran sebaliknya kepada kerajaan yang memerintah.

“Rakyat kata semasa zaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun sama. Sekarang pun sama. Pegawai kerajaan tidak berubah. Kelulusan lama dan masih tidak cepat. Apabila kita bantuan dan sebagainya masih dilengah-lengahkan lagi,” katanya.

Jelasnya masalah-masalah tersebut yang diadukan kepada beliau itu kini sudah menjangkau setahun sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Tambahnya akibat daripada isu berkenaan, beberapa aduan dan masalah rakyat serta janji-janji Pilihanraya Umum yang lalu tidak dapat ditunaikan.

Dalam pada itu, Tinagaran turut membangkitkan masalah pelantikan Tok-tok Batin yang dilihat masih tiada jawapan khususnya daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa).

“Orang kampung pun hairan mengapa kerajaan masa kini diterajui PH namun, Tok Batin masih lagi orang UMNO BN,” katanya.

Sementara itu, menurut Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi, walaupun ada yang sudi menyatakan sokongan kepada PH namun masih ada juga golongan Tok Batin yang bertindak sebaliknya.

“Kita ada suarakan isu ini kepada Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi namun beliau mengatakan ia adalah perkara yang melibatkan agensi kerajaan persekutuan, Jakoa.

“Harapan kita agar perubahan dapat dilakukan secara menyeluruh. Ini penting supaya semua mesej kerajaan pimpinan PH dapat sampai kepada semua, walaupun kepada masyarakat Orang Asli,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Majlis Jamuan Rakyat Hari Raya Aidilfitri peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak di Inap Desa Tanjung Bayu, di Sauk, dekat sini, hari ini.

Pada majlis yang dihadiri 1,500 orang pengunjung itu ia turut meraikan 40 orang anak yatim daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh menerusi sumbangan Hari Raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");