Perak Hari Ini

Adun Berdiam Diri: Penduduk Tertekan, Gesa Campur Tangan MB

IPOH: Penduduk Buntong hari ini telah menyatakan bantahan terhadap cadangan pembatalan pembangunan rancangan perkampungan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bemban, Batu Gajah.

Susulan daripada itu, seramai 50 orang penduduk telah hadir di Pejabat Menteri Besar Perak bagi menghantar sendiri memorandum bantahan dan berharap kerajaan negeri dapat memberikan satu keputusan berkaitan isu tersebut.

Wakil penduduk, Devathevasigamoney, 63, ketika ditemui meminta agar kerajaan negeri tidak mengecewakan orang India di Buntong dengan membatalkan projek penempatan semula setinggan Buntong di RPT Bemban Rakyat yang telah dikenalpasti, diluluskan dan ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kami telah sekian lama menantikan lot rumah tersebut iaitu bermula sejak surat tawaran pertama pada tahun 1987 disusuli dengan temuduga dan beberapa lagi surat tawaran dan pada 2012 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dibawah Kerajaan BN telah meluluskan tapak seluas 144.5 ekar di Mukim Sungai Terap bagi penempatan semula kami dengan lot bersaiz 45 x 80 kaki.

“Pada tahun 2017 pula, seramai 397 orang daripada 586 orang penduduk telah ditemuduga dan seramai 133 orang telah dikenalpasti untuk diberikan lot dalam kumpulan yang pertama dan bakinya akan diberikan selepas itu.

“Tetapi selepas kemenangan Pilihanraya Umum (PRU14) dan PH berjaya membentuk kerajaan di Negeri Perak, Adun Buntong iaitu A.Sivasubramaniam telah mengeluarkan kenyataan dan menjanjikan semula tapak lot tersebut sebagai hadiah Perayaan Deepavali tahun lepas pada Jun 2018.

“Akan tetapi, pada 9 Februari 2019, A.Sivasubramaniam telah menyatakan kepada media bahawa atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan jadi tawaran lot tanah tersebut telah dibatalkan dan digantikan dengan rumah pangsa yang bakal dibina di Buntong sebagai ganti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Cadangan Pembangunan Rancangan Perkampungan Tersusun Bemban Rakyat di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Ujarnya lagi, pada 2 Mei 2019, satu surat daripada PDT Batu Gajah telah dikeluarkan dan mengarahkan penduduk yang terlibat untuk hadir ke satu pertemuan dengan Adun Buntong untuk mendapatkan maklumbalas ke atas cadangan pertukaran lot rumah kepada rumah pangsa di Buntong.

“Rata-rata yang telah hadir pada pertemuan itu telah membantah cadangan tersebut dan kami berasa hairan kerana tiada pegawai PDT yang turut serta dalam pertemuan tersebut untuk memastikan ketelusan pertemuan tersebut.

“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap beliau, dia sepatutnya tampil membantu dan berjuang bersama penduduk untuk mendapatkan semula tapak berkenaan memandangkan sebelum ini wakil rakyat tersebut begitu lantang bersuara mendesak kerajaan BN menyegerakan pemberian tersebut,”katanya lagi.

Pada perkembangan sama, penyerahan memorandum dibuat sendiri oleh Devathevasigamoney kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Shahril Amin.

Menurut Khairul, keresahan penduduk mengenai isu ini sudah pun berada dalam pengetahuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan memorandum berkenaan akan diserahkan kepada beliau dalam masa terdekat.

Katanya, Ahmad Faizal sebelum ini sudah pun mengarahkan kajian semula dan meminta cadangan terbaik dikemukakan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam pada itu, pihak media cuba mendapatkan Adun Buntong, A.Sivasubramaniam untuk menjawab persoalan dalam isu ini bagaimanapun panggilan kami tidak disambut oleh beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");