Dalam prosiding selama 53 minit itu, Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri berdepan 26 pertuduhan secara rasuah menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN dan melanjutkan syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan One Stop Centre (OCS) di China dengan jumlah keseluruhan SGD$9,320,000.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk turut berdepan tujuh pertuduhan dengan jawatan sama sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapat sesuatu berharga masing-masing RM3,125,000, SGD$1,150,000, €15,000 dan USD 15,000 tanpa balasan daripada Ultra Kirana yang mana diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Sehubungan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Mukhzany Faris Bin Mohd Mokhtar menawarkan wang ikat jamin sebanyak RM1juta mengambil kira jumlah keseluruhan kes sebanyak RM42. 76juta beserta seorang penjamin dan serahan pasport di kekalkan seperti telah dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta sebelum ini.

Bagaimanapun, peguam Kitson Foong,  mewakili Ahmad Zahid membantah jumlah jaminan itu dan memohon jaminan RM500, 000 yang dianggap munasabah dalam memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Semalam anak guam saya sudah membayar jaminan sebanyak RM200, 000 bagi tujuh pertuduhan.

“Sekiranya dicampurkan dengan RM500, 000 sudah berjumlah RM700, 000 dengan Timbalan Pendakwa Raya dikatakan kesemua pertuduhan dibicarakan bersama. Namun, bagi dua syarat lain iaitu penjamin dan pengenalan pasport  kami tidak membantah,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan bersama seorang penjamin dan mengekalkan penyerahan pasport itu.

Tarikh sebutan semula 29 Julai depan.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pertuduhan dihadapi Ahmad Zahid kini adalah sebanyak 87.

Ini melibatkan 27 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah dan 48 pertuduhan rasuah.

Terdahulu Ahmad Zahid yang memakai baju batik berwarna hitam tiba pukul 8.30 pagi  itu ditemani anaknya, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff lapor Kosmi Online.