Perak Hari Ini

Amalan Rumah Terbuka Medium Terbaik Eratkan Hubungan Masyarakat

IPOH: Amalan rumah terbuka sangat sinonim terhadap masyarakat di negara ini dengan apa juga sambutan perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali.

Rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara acara rumah terbuka terbesar di Malaysia yang mana ia turut dianjurkan baik dalam kalangan rakyat sehingga ke dalam kalangan pemimpin dan istana.

Rosli Md Lazim, 35, berkata amalan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri merupakan acara ataupun medium yang sangat sesuai dalam mempereratkan hubungan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Kebiasaannya rumah terbuka kita akan menjemput semua orang dalam kalangan rakan-rakan, selain daripada ahli keluarga.

“Dan sudah semestinya rakan-rakan kita ada terdiri daripada pelbagai kaum. Jadi, melalui amalan ini ia dapat merapatkan lagi hubungan sesama masyarakat.

“Apabila di adakan acara rumah terbuka seperti ini, kita juga sudah tentu akan menjemput jiran tetangga yang tinggal berdekatan dengan rumah kita.

“Selain dapat meraikan bersama-sama kemeriahan Syawal, amalan ini juga dapat mempereratkan hubungan sesama jiran,” katanya kepada PerakToday, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Fauziah Abdul Razak, 33, amalan rumah terbuka juga dapat memberi peluang untuk meraikan bersama-sama dengan golongan yang kurang berkemampuan.

“Ada sesetengah golongan yang sambut Hari Raya Aidilfitri ini dengan serba kekurangan atau kesederhanaan.

“Dengan penganjuran rumah terbuka, ia secara tidak langsung sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman kepada mereka. Malah dalam Islam pun kita sangat dituntut untuk memberi makan kepada orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Jafaar Said Nordin, 41, berkata walaupun amalan rumah terbuka mempunyai kebaikan namun diharap ia tidak dijadikan seolah-olah ‘pesta makanan’ yang sehingga membawa ke arah pembaziran.

Katanya walaupun memberi makan merupakan amalan yang dituntut dalam agama namun perlu dielakkan jumlah yang terlalu banyak.

“Penganjur rumah terbuka boleh membuat persiapan dan dapat mengenal pasti berapa ramai tetamu yang hadir serta dijemput.

“Jika ada lebihan makanan atau minuman, jangan dibazirkan. Boleh dibungkus dan diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");