Berita Hari Ini

Azmin Bertemu Pegawai, Setiausaha Kerja PKR Negeri

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, mengadakan pertemuan tertutup dengan kira-kira 40 pegawai parti dari ibu pejabat PKR dan Setiausaha Kerja parti negeri dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata pertemuan tertutup diadakan sempena Majlis Silaturahmi Aidilfitri 2019 kementeriannya itu adalah atas permintaan kakitangan berkenaan bagi membolehkan beliau memberikan pandangan berhubung beberapa perkara supaya parti dapat diuruskan dengan lebih cekap dan teratur.

Katanya, antara perkara disentuh adalah mengenai pembabitan beliau dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada 1998 dan perjuangannya bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu.

“Saya ingat mereka juga bertanggungjawab untuk mendengar sendiri pandangan saya mengenai beberapa perkara dan Alhamdulillah, perbincangan berjalan cukup positif.

“Mereka mengenali saya dalam parti ini bukanlah baharu. Saya antara perintis yang terbabit (dalam PKR) dan saya juga menerangkan bagaimana peranan saya dalam kerajaan sebelum ini bersama Anwar (ketika itu Timbalan Perdana Menteri), apa yang saya lakukan untuk mempertahankan beliau ketika beliau diserang dengan fitnah pada 1998.

“Saya kira pemahaman ini penting kerana kesetiaan kita kepada parti dan pemimpin bukan bersandarkan sosok, kabilah atau kumpulan. Ia mesti berdasarkan fakta dan prinsip jelas dan kita tidak boleh membenarkan politik kotor mengambil peranan dalam parti serta kerajaan,” katanya kepada media selepas pertemuan berkenaan.

Ditanya mengenai ketidakhadiran beliau dalam beberapa mesyuarat pimpinan PKR sebelum ini termasuk semalam, Mohamed Azmin berkata, beliau berada di Bangkok, Thailand, semalam, bagi menghadiri upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34.

“Jika buat mesyuarat di Bangkok, mungkin saya boleh hadir…jika saya ada di sini, saya hadir, kalau tiada, tidaklah,” katanya.

Berhubung cadangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau menjalani ujian poligraf bagi membuktikan beliau bukan individu dalam video seks dikaitkan dengan dirinya, Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengambil tindakan awal atas nasihat peguamnya termasuk laporan qazaf dan polis.

“Saya mengambil tindakan awal kerana saya yakin ini perbuatan kejam, fitnah jahat yang cukup terancang didalangi orang tertentu.

“Kita sudah buat laporan dan berikan kerjasama terbaik kepada mereka (pihak berkuasa). Adakah beliau (Lokman) Peguam Negara baharu? (untuk mencadangkan tindakan),” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");