Membawang Hari Ini

Bengkung Sajat Diciplak

TIGA produk keluaran usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman, 34, didakwa diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan dia kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Nur Sajat berkata, dia menyedari produk Let’s Bengkung Diamond Gold keluaran syarikatnya diciplak sejak tahun lalu.

“Susulan itu, 26 stokis dan ramai ejen tidak dapat menjual barangan yang mendapat permintaan tinggi itu kerana persaingan harga daripada produk tiruan.

“Produk tulen dijual pada harga RM139.90 manakala produk tiruan dijual antara RM30 hingga RM90. Kebanyakan produk saya dijual di bazar, laman sosial dan platform e-dagang terkenal seperti Shopee dan Lazada.

“Saya dimaklumkan, pembeli yang memakai produk tiruan akan mengalami kecederaan pada badan kerana besi yang digunakan untuk bengkung berkenaan akan terkeluar hingga menyucuk tubuh pemakai,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

Nur Sajat berkata, pihaknya bersama dengan KPDNHEP sudah membuat dua serbuan di Sungai Udang, Klang dan Jalan Chow Kit pada 2 Mei lalu dan merampas bengkung ciplak.

“Ada pihak yang cuba mengambil untung atas angin dengan mengeluarkan 15,000 produk itu setiap bulan untuk dijual pada harga murah.

“Kotak, logo, jahitan, tulisan, tag dan kain yang digunakan amat berbeza dengan yang tulen dan saya menggesa mereka supaya menghentikan perbuatan itu jika tidak mahu berdepan dengan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, susulan produknya diciplak, dia mengalami kerugian sehingga 70 peratus dan semua 26 stokis sukar untuk menjual produk berkenaan.

“Dulu stokis mampu membuat jualan 20,000 helai bengkung namun kini sudah terjejas ekoran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Negeri KPDNHEP, Azeem Nazuri berkata, pihaknya menerima aduan yang dilakukan Nur Sajat dan akan mengambil tindakan lanjut.

“Pihak kementerian akan meneliti dokumen yang dikemukakan dan akan menjalankan siasatan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");