Sukan Hari Ini

“Betul Apa Yang Misbun Katakan”

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh (gambar) setuju dengan apa yang diperkatakan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengenai tempoh panjang yang diperlukan untuk melahirkan pemain sehebat Datuk Lee Chong Wei.

Menurutnya, memang susah untuk mencari pengganti kepada Chong Wei yang disifatkannya jauh berbeza dengan pemain lain.

“Memang betul apa yang diperkatakan Misbun. Chong Wei sangat istimewa tapi apa yang mungkin kita perlu buat ialah bukan mencari pengganti, sebaliknya tiru seperti mana Indonesia lakukan selepas mereka kehilangan Taufik Hidayat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya, ketika Indonesia berdepan masalah kekosongan di bahagian perseorangan lelaki dan berada pada tempoh kemarau, pemain muda negara berkenaan bersungguh-sungguh menjulang kembali imej mereka di peringkat antarabangsa.

“Mereka hasilkan tiga pemain untuk menampung kehilangan Taufik. Kita dapat lihat sekarang mereka mempunyai Anthony Sinisuka Ginting (7), Jonatan Christie (11) dan Ihsan Maulana Mustofa (39). Mungkin kita perlu perancangan rapi seperti mereka.

“Biar tiga atau empat pemain menggantikan Chong Wei tapi untuk mendapatkan 100 peratus sepertinya yang menghuni ranking dunia selama 199 minggu memang mustahil.

“Setidak-tidaknya penggantinya berlegar di ranking kelima, ke-10 dan ke-15 dunia sama seperti zaman dulu di mana kita mempunyai Roslin Hashim, Wong Choong Hann serta Lee Tsuan Seng,” katanya.

Kata Kenny, BAM harus melakukan perancangan rapi dan mengkaji semula program latihan, manakala jurulatih pula perlu lebih inovatif dengan pendekatan terbaru.

“Terus terang saya katakan jika kita ada seorang saja pemain untuk menggantikan Chong Wei memang susah. Jadi kita perlu menghasilkan tiga atau empat pemain ke arah itu. Bakat kita sudah ada cuma perlu digilap saja,” katanya.

Kelmarin, Misbun mengakui bahawa Malaysia perlu menunggu 10 hingga 15 tahun lagi untuk mempunyai pemain setanding Chong Wei yang Khamis lalu mengumumkan persaraan secara rasmi selepas 19 tahun menabur bakti kepada negara dalam arena badminton.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");