Berita Hari Ini

Buta Mata Main Mercun Bola

KUANTAN: “Aboh, Yah boleh beraya lagi tak?”

Itu pertanyaan seorang kanak-kanak 10 tahun kepada bapanya selepas mata kanannya cedera akibat bermain mercun bola berhampiran rumahnya di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan, Sabtu lalu.

Menurut BH Online, Muhammad Isyraf Firdaus Zulrisam kemudian disahkan hilang penglihatan terkena serpihan tin sardin yang meletup gara-gara mercun bola yang diletakkan didalamnya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu, Pekan itu yang lebih dipanggil dengan Yah oleh keluarganya, turut cedera di pipi, hidung dan jari.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang bermain dengan rakan berhampiran rumahnya memasukkan mercun bola ke dalam tin sardin.

Bagaimanapun, mercun itu tidak meletup yang menyebabkan mangsa memeriksa tin terbabit sebelum tiba-tiba meletup.

Mangsa dibawa ke klinik di Nenasi sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Bapa mangsa, Zulrisam Kadri, 43, yang ditemui di HTAA di sini, pada Isnin berkata anak sulung daripada dua beradik itu sudah menjalani pembedahan mata petang kelmarin.

“Lepas kena, dia ada tanya, Aboh, Yah boleh raya lagi tak? Saya cakap, boleh tetapi mungkin di hospital.

“Doktor cakap kornea mata sudah rosak dan tidak lagi berfungsi. Bila doktor cakap mata dia tidak boleh diselamatkan lagi, mak dia hendak pitam, apatah lagi dengan keadaan mak dia yang ada darah tinggi,” katanya.

Zulrisam berkata, kebiasaannya anaknya bermain mercun mancis kerana dia tidak dibenarkan bermain mercun.

“Petang itu saya rasa tak sedap hati, jadi buat rondaan dekat padang untuk tengok dia. Bila saya balik rumah tengok orang ramai memenuhi kawasan rumah.

“Memang dia cakap menyesal… saya rasa ‘down’ tengok keadaannya dengan mata macam itu. Persiapan raya semua sudah siap… nampak gayanya memang akan beraya di sini,” katanya.

Menyifatkan anaknya seorang yang aktif bersukan di sekolah serta rajin, Zulrisam berkata, dia tidak boleh bersedih dan perlu memberi semangat kepada anaknya.

“Doktor sendiri terkejut tengok keadaan dia yang tenang selepas kena. Saya harap kejadian ini dapat memberi pengajaran kepada kanak-kanak lain serta ibu bapa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");