Berita Hari Ini

Dr Mahathir Cadang Cukai Perniagaan Dalam Talian Diperkenalkan Di ASEAN

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan negara anggota ASEAN.

Dr Mahathir menyifatkan perniagaan dalam talian memberi kesan kepada perniagaan konvensional.

Memetik Amazon.com sebagai contoh, beliau berkata kedai buku dalam talian itu menyebabkan kedai buku konvensional gulung tikar.

“Perniagaan dalam talian yang berurusan secara terus menyebabkan perniagaan konvensional terjejas dan kutipan cukai perniagaan juga berkurangan.

“Menerusi perniagaan dalam talian, kita tidak tahu siapa yang mendapat keuntungan (kutipan cukai),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34, di sini, pada Sabtu.

Saranan itu disuarakan Perdana Menteri ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 sebelum itu.

Dr Mahathir berkata ketika ini hanya negara asal perniagaan dalam talian itu yang mendapat keuntungan menerusi kutipan cukai terbabit.

“Kita tidak dapat apa-apa. Sehubungan itu, saya mencadangkan beberapa perkara supaya kita dapat sebahagian daripada cukai keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata sesi pleno itu juga membincangkan isu lain berkenaan kerjasama ASEAN.

“Perdagangan intra-ASEAN adalah sangat kecil. Maka, perlu ada satu usaha khusus untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN,” katanya.

ASEAN yang didiami lebih 600 juta penduduk adalah pasaran besar untuk perdagangan.

Dr Mahathir menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini yang dipengerusikan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Dalam Pleno itu, pemimpin negara anggota ASEAN membincangkan isu berkaitan tema sidang kemuncak berkenaan iaitu ‘Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian’, termasuk kaedah untuk membina Komuniti ASEAN yang kukuh, berpaksikan rakyat, memastikan tiada yang ketinggalan dan melangkah arah masa depan yang gemilang lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");