Berita Hari Ini

Dr Mahathir Perlu Perjelas Lantikan Latheefa

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu diberi ruang dan masa untuk memperjelaskan kepada Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan BH Online, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan pelantikan Latheefa dibuat tanpa melalui proses pengesahan Jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata, penjelasan itu perlu dibuat bagi menjawab tanggapan kerajaan mengingkari atau mengabaikan komitmen dalam manifesto, walaupun menyokong keputusan Dr Mahathir melantik Latheefa untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Saya rasa penjelasan perlu diberikan kepada orang ramai berhubung isu ini, walaupun saya percaya Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan.

“Oleh kerana perdana menteri sudah buat keputusan, kita perlu menyokong dan mendengar penjelasannya dalam forum yang betul, iaitu menerusi Kabinet atau Majlis Presiden PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Hari Raya Perdana bersama Anwar yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di pekarangan Masjid Kubang Semang di sini, malam tadi.

Latheefa dilantik sebagai KP SPRM baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Anwar berkata, penjelasan itu antara lain wajar diberikan bagi memastikan SPRM kekal bebas, selain penjawat jawatan berkenaan perlu dilihat profesional dan tidak dipengaruhi pegangan politik, perasaan atau gabungan.

“Penjelasan kepada orang ramai juga perlu kerana isu pelantikan ini berkait dengan manifesto, selain mengapa kita memenuhi atau menghormati manifesto juga perlu diperjelaskan bagi mengelak kekeliruan.

“Pada masa sama kita juga sedar tugas untuk memastikan keberkesanan perjalanan pentadbiran kerajaan serta sokongan terhadap inisiatif dibuat perdana menteri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang makluman daripada Latheefa sebelum bekas ahli PKR itu bersetuju menerima lantikan bagi mengisi jawatan berkenaan.

“Latheefa tidak menghubungi saya sebelum terima jawatan ini tetapi tidak maklum sama ada dia memberi tahu pemimpin lain. Saya hanya maklum mengenai perkara ini menerusi media,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");