Perak Hari Ini
Like

Elak Kejadian Berulang: Menteri Harap Orang Asli Ambil Suntikan Imunisasi

June 18, 2019
267 Views
0 Comments
1 minute read
Elak Kejadian Berulang: Menteri Harap Orang Asli Ambil Suntikan Imunisasi

Tahap kesedaran akan kepentingan suntikan imunisasi dikalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang masih rendah walaupun setelah berlakunya penularan wabak campak yang menjadi punca beberapa kematian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, berdasarkan tinjauan yang dibuat hanya 30 peratus sahaja dikalangan penduduk kampung itu yang telah menerima suntikan imunisasi.

“Tahap kesedaran akan kepentingan imunisasi masih rendah dikalangan mereka dimana 70 peratus daripada penduduk tidak menerima atau mengambil suntikan imunisasi.

“Bagi mengelak keadaan menjadi semakin teruk, usaha-usaha kesedaran akan kepentingan imunisasi sedang dijalankan namun disebabkan suku kaum Batek ini merupakan masyarakat yang berpindah-randah maka agak sukar untuk kita menemui mereka,” katanya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Orang Asli di Dun Chenderiang, hari ini.

Waytha dalam masa yang sama turut menasihati golongan masyarakat orang asli di seluruh negara agar mengambil suntikan imunisasi bagi mengelak kejadian yang sama berlaku di kawasan lain.

Katanya, walaupun terdapat segelintir dikalangan masyarakat Orang Asli yang tidak mempercayai perubatan moden namun dalam aspek imunisasi ia merupakan sesuatu yang sangat penting.

“Mempelajari dari tragedi yang melanda, apa yang penting orang asli ambil imunisasi supaya bila diserang bakteria dan virus maka ia boleh lindungi mereka.

“Saya minta orang ramai nasihatkan mereka yang kurang percaya perubatan moden tu supaya ambil suntikan ini.

“Bagi masyarakat orang asli, saya nasihatkan sekiranya ada simptom-simptom campak maka bolehlah cepat-cepat hubungi pejabat kesihatan terdekat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.