Majistret Nor Arifin Hisham membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie.

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti hujahan dan pertimbangan keterangan saksi-saksi termasuk eksibit serta hujahan yang dikemukakan.

“Setelah mahkamah membuat penilaian maksima yang kredibel (meyakinkan) pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323, Seksyen 353 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” kata Nor Arifin dalam keputusan.

Terdahulu ketika ditanya mahkamah, suami kepada aktres Diana Danielle memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 dan 18 Julai sebagai tarikh sambung bicara untuk bela diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran manakala pelakon itu diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Pada 16 Januari 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36, dan Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga berdepan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd. Nizam sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Pelakon itu  turut didakwa kerana berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd. Nizam sehingga mendatangkan kemarahan.

Pada 15 Mei lalu, pelakon itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan namun Rabu lalu,  Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman berkenaan atas kesalahan penyalahgunaan dadah Januari tahun lalu lapor Kosmo Online.