Berita Hari Ini

Guan Eng: Persatuan Wartawan Mengaku Terima Wang 1MDB

Tiga persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang diminta berhubung dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulangkan wang yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ketiga-tiga persatuan wartawan ini telah mengakui menerima RM50,000 setiap satu persatuan dengan jumlah keseluruhan RM150,000 dari 1MDB.

“Saya rasa ketika itu mereka tidak tahu mana punca wang ini, tetapi selepas tahu saya rasa mereka tahu apa yang mereka sepatutnya buat.

“Terdapat pelbagai saluran untuk mereka pulang wang 1MDB dan mereka harus menghubungi MOF untuk mengetahui prosesnya,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, mereka harus kembalikan wang 1MDB kerana ia wang yang sedang dalam siasatan.

Selasa lepas, Lim mengumumkan persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang antara pihak dikenal pasti turut menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketika ditanyakan sama ada ketiga-tiga persatuan wartawan ini akan dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim berkata beliau tidak pasti kerana perkara itu di luar bidang kuasa beliau.

“Saya rasa perkara (siasatan) itu akan datang tetapi segala terpulang kepada SPRM namun dalam rekod kami memang jelas nama mereka ada,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata saranan Presiden Gerakan, Dominic Lau untuk mendapatkan semula wang 1MDB dari bekas pemimpin-pemimpin Umno dalam PH disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.

Katanya, mereka tidak menerima wang ini kerana wang 1MDB ini tidak masuk ke dalam akaun peribadi mereka.

“Jangan minta saya saya tuntut wang daripada mereka yang tidak menerima wang 1MDB. Jadi saya rasa pembangkang ini sudah hilang akal dan tidak tahu macam mana nak tangani 1MDB,” katanya.

Rabu lalu, Lau menggesa Lim memulakan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dalam usaha mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Terdahulu, Lim yang juga anggota Parlimen Bagan telah memberi bantuan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM11,000 kepada lapan mangsa ribut di Bagan Jermal pada 22 Jun lepas.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");