Berita Hari Ini

Gugup Disapa Agong Pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri

KUANTAN- Gugup tapi teruja. Itu perasaan W.Sangeetha apabila disapa oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Abdulaziz di sini, hari ini.

Sangeetha, 32, juga menyifatkan perkara itu sebagai kenangan terindah buat dirinya kerana berasa ‘terpilih daripada ribuan tetamu’ yang secara peribadi dapat bersemuka dengan Sultan Abdullah, memandangkan ini merupakan kunjungan kali pertamanya ke istana.

“Saya sedang mencari tempat duduk, apabila melihat orang ramai menuju ke arah tempat saya berdiri. Rupanya tuanku berada dalam kelompok mereka dan tiba-tiba sahaja baginda menegur dan bertanya saya datang dari mana

“Saya terkejut menyebabkan saya agak gugup untuk menjawab. Baginda juga bertanya mengenai anak dan suami saya yang berdiri bersebelahan. Selalu saya hanya mendengar cerita mengenai keramahan tuanku, tapi hari ini saya mengalaminya sendiri,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sangeetha yang merupakan anak jati Taiping, Perak namun bekerja di sini berkata mereka sekeluarga mengambil peluang untuk memeriahkan majlis sambutan itu memandangkan suaminya yang merupakan anggota tentera mendapat cuti hari ini.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini, berkenan menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, yang dihadiri hampir 7,000 rakyat berbilang kaum serta warga asing.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri Datin Seri Burhah Mohammed, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pahang.

Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli menyantuni rakyat yang berkunjung ke majlis itu, yang semuanya kelihatan teruja untuk bersalaman dan merakamkan gambar sebagai kenangan bersama baginda.

Pesara guru besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di sini, Tengku Adnan Tengku Mahmood, 86, yang berkerusi roda berkata kunjungannya ke majlis itu adalah untuk bertemu Sultan Abdullah selepas sekian lama tidak bertemu, dan bersyukur hasrat itu dipermudahkan.

Tengku Adnan mendakwa telah lama mengenali Sultan Abdullah sejak dari zaman kecil, kerana Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pernah membawa baginda semasa menghadiri majlis yang dihadirinya.

“Saya kenal baginda (Sultan Abdullah) sejak daripada Tengku Mahkota Pahang lagi. Perangainya memang begitu, mudah menegur rakyat seperti mana Almarhum ayahanda baginda. Saya menjunjung kasih pada tuanku kerana sudi menegur saya,” katanya.

Sementara itu, cucu Tengku Adnan, Mohammad Faris Aqil Mohd Azmi, 15, berkata mereka antara yang ‘terawal’ tiba pada majlis itu, kerana datuknya begitu berhajat untuk datang menyebabkan ayahnya mengalah dan menghantar mereka sehingga ke pintu masuk istana.

Bagi Wong Wue, 72, dan isteri Tan Ah Moi, 71, dari Seri Kuantan di sini, mereka mengambil kesempatan untuk menghadiri majlis itu selepas membaca mengenainya di surat khabar.

“Dahulu tahu juga ada majlis begini, tapi kami tak pernah pergi kerana dibuat di istana di Pekan atau bila diadakan di sini, kami pula yang mempunyai alasan lain yang menghalang untuk datang.

“Bila sekali lagi diadakan tahun ini, kami seronok mahu datang. Bukan selalu rakyat biasa boleh masuk istana. Saya juga tidak sabar mahu merasai juadah yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, David Whittingtom, 60, dari London yang dalam program lawatan ke wilayah pantai timur, berkata beliau bernasib baik berada di Kuantan minggu ini dan membolehkannya menjadi antara tetamu istana.

Beliau berkata beliau mengambil peluang untuk memasuki istana itu kerana bukan selalu dibuka kepada orang ramai dan mendapati suasananya begitu ceria.

“Saya mencuba sate dan rasanya sangat mengagumkan. Tidak sabar pula untuk mencuba makanan lain kerana orang tempatan memberitahu ada antara makanan yang dihidangkan hanya untuk majlis istimewa sahaja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");