Berita Hari Ini

Hadi Tunjukkan Tarbiah Islam PAS Gagal – Syed Saddiq

Tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyalahkan pengundi muda Pakatan Harapan (PH) sebagai punca tumbangnya BN pada pilihan raya umum lalu, menunjukkan kelemahan pendekatan dakwah parti Islam itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PAS sebaliknya sering menyalahkan pihak lain tanpa meneliti kelemahan mereka sendiri.

“Bagi saya, ini menunjukkan tahap tarbiah Islam PAS telah gagal.

“Kelemahan ini adalah kelemahan mereka sendiri, tetapi anak muda dan teknologi yang dijadikan kambing hitam oleh ulama-ulama PAS.

“Sikap ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat,” kata pemimpin Bersatu itu.

Abdul Hadi ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS di Kuantan hari ni berkata, 30 peratus anak muda yang mengundi PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu kurang ilmu agama hingga gagal memahami Islam mengikut makna sebenar.

Katanya, disebabkan itu golongan terbabit melakukan kesilapan apabila menumbangkan BN dan mengundang mudarat lebih besar dengan memilih PH.

“Tiga puluh peratus pengudi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun yang tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan Facebook, mengaji dengan WhatsApp.

“Kefahaman (mereka) dalam masa singkat, dengan WhatsApp, (kemudian) membuat sikap politik,” katanya.

‘PAS, Umno hanya tawarkan politik perkauman’

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata beliau setuju dengan kenyataan Abdul Hadi bahawa politik bukan merupakan kajian ‘dua tiga minit’, tetapi perlu mempertimbangkan masa depan negara.

“Tetapi apakah yang PAS dan Umno tawarkan selama ini kepada anak muda? Mereka hanya menawarkan politik sentimen perkauman dan agama sahaja.

“Atas sikap PAS dan Umno ini, maka anak-anak muda menjadi muak dan beralih menyokong hujah-hujah politik PH.

“Ini bukan salah anak muda, sebaliknya pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang tidak memahami idealisme dan selera anak muda. Politik sememangnya tentang dasar dan selera semasa,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan 90 peratus bukan Islam mengundi PH dan mereka yang menolak Umno diibaratkan seperti “Marahkan nyamuk kelambu dibakar”.

“Mengapa haji Hadi begitu marah bila rakyat menolak Umno? Adakah haji Hadi ini ahli seumur hidup parti Umno?

“Saya cuba pergi jauh persoalan yang cuba menjurus tentang sentimen perkauman ini.

“Adakah dakwaan haji Hadi ini bermaksud pengundi bukan Islam yang mengundi PH ini salah kerana mereka mengundi untuk menolak rasuah?” soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");