Sukan Hari Ini

‘Higuain Mahu Kekal Di Juve’

LONDON: Bekas penyerang Chelsea, Gonzalo Higuain bertekad untuk mengekalkan kontraknya bersama Juventus di sebalik spekulasi perpindahan ke AS Roma, tegas ejennya Nicolas Higuain.

Higuain, yang juga bekas pemain kebangsaan Argentina dipinjamkan ke Chelsea dari Turin pada Januari tahun ini tampil dalam 14 perlawanan Liga Perdana dan menyumbat lima gol.

Dia kembali ke Bianconeri dan berhasrat untuk menghabiskan kontrak yang berbaki dua musim di Stadium Allianz, menurut wakil yang juga abangnya, Nicolas memetik BHarian.

“Gonzalo mahu menghormati kontraknya dan kekal di Juventus untuk tempoh dua tahun akan datang,” kata Nicolas. “Persembahannya di Juve bagus dan bermain untuk pasukan lain di Itali bukan jalan penyelesaian.

“Saya tidak mahu memperkecilkan sesiapapun, tetapi jika Gonzalo bermain di Itali semula, dia hanya akan bermain untuk Juve, yang memilikinya.”

Higuain berpindah ke Barat London untuk bekerjasama semula dengan bekas pengurusnya di Napoli, Maurizio Sarri bagi mengembalikan kegemilangannya.

Pada musim 2015-16, pemain berusia 31 tahun itu meledak 36 gol bersama Napoli dalam kempen Serie A, jaringan terbanyak semusim di liga Itali sejak 1928-29.

Sarri ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus dan tindakannya dijangka menimbulkan kemarahan peminat di Napoli, sama seperti yang diterima Hugain.

“Kedua-dua pihak mahukan satu sama lain. Peminat Napoli sentiasa menyayangi Gonzalo dan ejekan yang diterimanya selepas perpindahan ke Juventus membuktikannya,” kata Nicolas.

Satu lagi khabar angin membabitkan Higuain adalah perpindahan ke negara kelahirannya, Argentina bersama bekas kelabnya River Plate tetapi Nicolas berpendapat ia terlalu awal.  – AGENSI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");