Berita Hari Ini

Hishammuddin Ke SPRM Ahad Ini

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah hadir memberi keterangan semalam bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula akan dipanggil ke SPRM pada Ahad ini bagi memberi keterangan.

“Kita juga akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ ini.

“Ketika ini, SPRM mahu mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggilkan bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media khas kes 1MDB di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Pada Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion

Dalam perkembangan lain, Azam mengesahkan dua individu telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.

“Kami sudah tahan dua individu daripada syarikat yang menerima projek berkenaan dan mereka sudah ditahan reman sejak tiga hari lalu,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");