Berita Hari Ini

Isu Dr Zakir, Kerajaan Akan Bincang Jika India Kemuka Permohonan

TELUK INTAN: Kerajaan mungkin mengadakan perbincangan pada peringkat Kabinet jika menerima permohonan daripada Kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah, Dr Zakir Naik ke negara berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) , Mohamed Hanipa Maidin, berkata langkah sewajarnya akan diambil berhubung isu itu kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini kerajaan belum menerima sebarang permohonan daripada Kerajaan India berhubung isu pendakwah itu seperti kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam.

“Kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor dan tindakan akan diambil selepas mendapat permintaan rasmi (sekiranya ada) daripada Kerajaan India.

“Setakat ini, belum ada apa-apa lagi permintaan berdasarkan kenyataan Dr Wan Azizah dan saya rasa tak wajar (untuk saya) mengulas lanjut sebelum ada apa-apa permintaan rasmi,” katanya mengulas isu mengekstradisi Dr Zakir ke negara asalnya, India.

Semalam, Dr Wan Azizah dilaporkan berkata, kerajaan belum menerima sebarang permohonan daripada Kerajaan India bagi mengekstradisi pendakwah terbabit.

Beliau dipetik sebagai berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Dr Zakir baru-baru ini adalah pendirian kerajaan buat masa ini.

Isnin lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas Kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

Pendirian itu ditegaskan Dr Mahathir selepas mengambil kira tindakan Kerajaan Australia yang sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ia susulan laporan berita mengatakan pihak berkuasa India bakal mendapat waran terhadap Dr Zakir bagi menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang 2002 di Mumbai.

Pihak berkuasa India turut dilaporkan cuba mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk menahan Dr Zakir, sekali gus mengekstradisinya ke negara itu dari Malaysia.

Pada Disember 2017, Interpol menarik semula notis merah ke atas Dr Zakir selepas menolak permohonan dikemukakan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) kerana ia tidak lengkap dan tidak memfailkan sebarang kertas pertuduhan terhadap pendakwah itu.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");