Perak Hari Ini

Isu Ruang Udara: Perak, Wisma Putra Lakukan Perbincangan

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melibatkan diri dalam perbincangan di antara Wisma Putra dan kerajaan Thailand berhubung isu penggunaan ruang udara menjelang operasi secara rasmi Lapangan Terbang Bentong.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut telah dibawa ke Wisma Putra kerana ia melibatkan soal keselamatan.

“Pesawat yang akan mendarat di lapangan terbang yang dijangka memulakan operasinya pada tahun 2021 itu sudah pasti akan melalui ruang udara negara ini di sebelah utara Perak memandangkan kawasan tersebut bersempadan dengan Pengkalan Hulu.

“Kita juga percaya apabila lapangan terbang itu beroperasi, sudah tentunya ada pesawat yang menggunakan ruang udara kita dan perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci dengan pihak Thailand.

“Sudah tentunya kita akan terlibat sama dalam perbincangan antara Wisma Putra dan kerajaan Thailand yang akan membincangkan mengenai aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman bersama Exco-Exco Kerajaan Perak dan pegawai kanan kerajaan.

Ujar Ahmad Faizal lagi, kerajaan negeri juga akan merancang sesuatu di kawasan berhampiran sempadan tersebut bagi memanfaatkan lapangan terbang tersebut.

“Bila ada lapangan terbang ini, kita juga perlu merencanakan wilayah kita supaya boleh dimanfaatkan apa yang berlaku di Selatan Thailand itu nanti.

“Kita perlu fikirkan apa jenis industri yang sesuai untuk direncanakan berhampiran sempadan Malaysia- Thailand itu nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");