Perak Hari Ini

Jaga Keluasan Sawah Padi, Bukan Mudah Untuk Tukar Kepada Perumahan

IPOH- Kerajaan negeri Perak menegaskan bahawa akan tetap menjaga keluasan tanaman padi di negeri ini supaya bekalan kepada rakyat akan berterusan serta tidak terlalu bergantung kepada beras import.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamahri berkata tindakan untuk menukar kawasan padi kepada kawasan perumahan bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, berkata kerajaan negeri bersedia meluluskan penukaran status tanah pertanian dikhususkan tanaman padi di daerah Kerian kepada pembangunan perumahan terancang jika terdapat permohonan dikemukakan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK).

Namun begitu kata Paul Yong, keputusan membenarkan penukaran status tanah pertanian padi untuk pembangunan di daerah Kerian itu tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Kata Abdul Yunus, kenyataan yang dikeluarkan oleh Paul Yong adalah berdasarkan jawatannya sebagai exco perumahan dimana perbincangan ada dibuat secara spontan dan beliau sendiri ada menyebut tentang perkara itu semasa program yang lepas.

“Sekiranya rakyat hanya membaca tajuk seolah-olah kerajaan negeri Perak begitu mudah untuk menukar kawasan padi kepada kawasan perumahan tetapi kita dibaca keseluruhan kenyataan tersebut perkara ini adalah tidak mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa Program Pemutihan Kawasan Padi Luar Jelapang Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengekalkan malahan ingin menambah jumlah keluasan tanaman padi bukan sahaja di Daerah Kerian malahan di seluruh negeri Perak.

“Perkara tersebut merupakan tindakan yang kita lakukan pada hari ini iaitu untuk menyelesaikan beberapa isu tentang masalah dan juga pembangunan pertanian sawah padi di negeri ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");