Sukan Hari Ini

Janji Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berjanji akan memberi layanan adil dalam membimbing semua barisan pemainnya.

Misbun berkata, biarpun tumpuan ketika ini dilihat terarah kepada Lee Zii Jia, namun beliau tetap memberi perhatian terhadap pemain seperti Soong Joo Ven dan Cheam June Wei.

Katanya, tumpuan sama rata perlu diberikan bagi mengelak jurang terlalu jauh antara ketiga-tiga pemain berkenaan sekali gus tidak mengulangi kesilapan sama seperti berlaku membabitkan Datuk Lee Chong Wei dengan pemain lain.

“Mungkin tumpuan dilihat lebih kepada Zii Jia disebabkan ranking dunianya dan dia adalah tonggak selepas ketiadaan Chong Wei. Sebenarnya saya beri tumpuan kepada semua termasuklah Joo Ven dan June Wei.

“Saya tidak mahu melepaskan peluang membina mereka untuk mencuri tumpuan. Seperti Joo Ven dan June Wei mereka juga ada ranking yang baik.

“Jadi, saya perlu beri perhatian kerana setidak-tidaknya itulah saingan dalam ranking negara kita buat masa sekarang,” kata Misbun.

Dengan ranking Chong Wei jatuh di kedudukan ke-190 selepas hampir setahun tidak beraksi dalam kejohanan antarabangsa kerana masih dalam pemulihan susulan kanser hidung dihidapinya, status sebagai pemain nombor satu negara kini dipegang Zii Jia.

Pemain berusia 21 tahun itu kini menghuni ranking ke-20 dunia manakala Joo Ven (72) dan June Wei (91).

Berdasarkan kedudukan itu, jurang nyata masih jauh antara Zii Jia dengan Joo Ven dan June Wei tetapi Misbun memiliki ramuan tersendiri bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Mudah saja (cara bagi mengelak jurang terlalu jauh). Sebab itu, perkara diutamakan untuk menempatkan ranking mereka bagi membolehkan mereka beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 500,750 dan 1000.

“Apabila sudah capai itu, ia akan menjadi lebih mudah untuk mereka. Namun, disebabkan buat masa sekarang ini mahu bermain dan menang kejohanan bertaraf Super 300 pun sukar, jadi saya perlu bina dan tingkatkan prestasi mereka,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");