Berita Hari Ini

Jemaah Menteri Ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR- Menteri-menteri Kabinet hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam catatan di laman sosialnya menyeru umat Islam di negara ini untuk menyuburkan rasa kasih sayang sesama manusia bersempena 1 Syawal yang bakal disambut esok.

Katanya sikap rahmah atau kasih sayang sesama manusia adalah antara ciri penting keperibadian seorang Muslim.

“Suburkanlah rasa kasih sayang sesama ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan warga Malaysia seluruhnya.

“Hindarkan bibit-bibit kebencian, permusuhan dan persengketaan. Berhati-hatilah mengeluarkan tutur kata supaya tidak menimbulkan prasangka dan sengketa, baik sesama umat Islam mahupun dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita. Sentiasalah menjaga tertib, adab dan akhlak yang mulia,” katanya yang mewakili seisi keluarga beliau untuk mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.

Turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang dimuat naik dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau.

“Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, keinsafan dan semoga hari raya kali ini membawa seribu satu makna buat kita semua. Maaf Zahir dan Batin,” tulis Gobind yang turut memuat naik klip video pendek berdurasi 30 saat mengandungi ucapan Aidilfitri daripada beliau dan warga kerja kementeriannya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata perpaduan erat antara kaum dan kestabilan dalam negara diterjemahkan melalui sambutan Aidilfitri yang harmoni oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Gunakanlah kesempatan Aidilfitri ini untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan dan keharmonian dalam masyarakat,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam catatan di laman Twitter turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati di jalan raya dan mengelakkan pembaziran makanan di sepanjang musim perayaan ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 5 Jun (esok) lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");