Berita Hari Ini

Jho Low Biayai The Malaysian Insider Pada 2010 – Laporan

Ahli perniagaan dalam buruan Jho Low telah menghulurkan sebanyak AS$9 juta (sekarang RM 37.5 juta) bagi membiayai portal berita The Malaysian Insider (TMI) pada 2010, kata suatu laporan media.

The Edge hari ini melaporkan pembabitan Low dengan laman berita yang sudah tidak beroperasi lagi itu selepas penulis blog Umno mendakwa TMI menjejaskan pentadbiran perdana menteri Najib Razak ketika itu.

Low, yang nama penuhnya Low Taek Jho, merupakan sekutu rapat Najib dan pada waktu itu baru sahaja memeterai perjanjian usaha sama antara PetroSaudi International Ltd dan 1MDB setahun yang lalu.

Menurut The Edge, Low membabitkan diri membiayai portal berita tersebut dengan tujuan untuk “meredakan ketegangan antara TMI dan kumpulan pro-Najib”.

Memetik sumber, The Edge melaporkan TMI diasaskan pada tahun 2007 oleh usahawan Malaysia, pengarah Efficient E-Solution Berhad Vincent Cheah Chee Kong dan rakan kongsi niaganya, Shaik Aqmal Shaik Allaudin.

Cheah dan Shaik dilaporkan membiayai syarikat PR Fox Communications Sdn Bhd yang bekerja untuk Low berkaitan dalam projek usaha sama PetroSaudi.

The Edge memetik sumber berkata Cheah dan Shaik memulakan TMI pada tahun 2007 untuk menyokong pentadbiran Najib yang menggantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, kedua-dua individu tersebut dikatakan tidak menjadikan pembabitan mereka dengan portal berita itu diketahui umum pada masa itu.

Kumpulan pro-Najib menuduh protal berita itu mencemarkan nama baik kerajaan pada masa itu.

Ketika itu, wartawan dan ahli perniagaan Kalimullah Hassan membuat penafian pada 2010 bahawa beliau merupakan orang di belakang Efficient E-Solution yang mendanai portal itu.

“Untuk membantu meredakan ketegangan antara TMI dan Kumpulan Najib, Jho Low membabitkan diri untuk mengambil alih pembiayaan TMI pada 2010, membayar AS$ 9 juta tanpa namanya muncul,” lapor The Edge.

TMI kemudiannya dijual kepada The Edge Media Group, yang menjadi penerbit The Edge Malaysia, pada tahun 2014.

Dalam laporannya, The Edge Media Group mendakwa hanya mengenali identiti salah seorang daripada dua pemegang saham yang dibeli oleh portal itu dan tidak tahu Low membiayai laman web tersebut.

TMI telah menamatkan operasi pada 2016 kerana “alasan komersil” walaupun ramai berpendapat tindakan tersebut berkaitan dengan sekatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penerbitan artikel mengenai Najib pada awal tahun itu.

Ketika dihubungi, ketua pegawai eksekutif TMI, Jahabar Sadiq, berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");