Berita Hari Ini

Kabinet Luluskan Penubuhan Jawatankuasa Khas Teliti Kewujudan Mahkamah Khas

PARIT BUNTAR – Kabinet meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa khas bagi meneliti semua aspek berhubung cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Mujahid menjelaskan jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana sesuatu hukuman yang diputuskan oleh mahkamah tersebut kelak akan melibatkan transaksi kewangan.

“Kita perlu ada (pindaan) akta bagi BNM dan KWSP kerana apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas suami, macam mana BNM, KWSP nak beku duit dia untuk bayar nafkah,” katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Aidilfitri 2019 Parlimen Parit Buntar di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata perbincangan oleh jawatankuasa khas itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini.

Inisiatif penubuhan mahkamah khas itu bagi mempercepatkan masalah perkahwinan dan penceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah selain membantu mengurangkan kes suami enggan membayar nafkah kepada isteri.

Dalam perkembangan lain, Mujahid meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan isu 10,000 kuota khas haji kerana pemberiannya merupakan hak mutlak Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

“Kuota itu adalah hak Raja Salman, kalau dia nak bagi dan tidak bagi itu bukan isu kerajaan baharu (sekarang) kerana kerajaan lama (Barisan Nasional) pun pada 2014 hingga 2017 tidak dapat kuota itu.

“Isu kuota haji sekarang berada di peringkat teratas iaitu pada Raja Salman dan bukan di peringkat menteri.

“Selalunya Raja Salman bagi kuota di saat akhir dan kita mendoakan kalau diberikan kuota itu akan memberi peluang kepada bakal haji yang masih menunggu giliran dan yang membuat rayuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");