Berita Hari Ini

‘Kebebasan Tak Diberi Percuma’ – Dr M Kenang Era Penjajahan

Ramai rakyat Malaysia bertuah kerana tidak melalui penghinaan seperti generasi terdahulu ketika zaman penjajahan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Berucap di acara My Voice My Nation Malaysia 2019 di Kuala Lumpur malam ini, beliau yang membesar ketika era penjajahan British berkongsi pengalamannya dengan kira-kira 2,000 hadirin.

“Saya untung, atau mungkin malang, lihat bagaimana orang kita dilayan dan dikenakan segala macam penghinaan oleh penjajah.

“Mereka datang ke rumah kita, beritahu kita bagaimana untuk berkelakuan, dan arah kita buat perkara untuk keuntungan mereka dan tinggalkan serdak.

“Mereka ambil kekayaan kita dan kita diharapkan untuk senyum dan bantu mereka menjarah (kekayaan negara),” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia, terutama golongan muda, dapat melihat tentang kepentingan memperjuangkan kemerdekaan dan menentang penjajahan.

Perdana menteri turut menekankan bahawa kebebasan bukanlah diberi percuma, tetapi sesuatu yang diperjuang, dipertahankan dan dipupuk.

“Saya percaya itu tugas yang diamanahkan kepada anda. Baik atau buruk, besar atau kecil, generasi saya sudah menjalankan tugas kami,” katanya lagi.

Golongan diraja, bangsawan, rakyat

Sementara itu, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ada pemimpin daripada keturunan bangsawan dan diraja yang sukar memahami penderitaan rakyat biasa.

“Salah satu aspek kepimpinan yang ada kala terlepas pandang ialah kebolehan merasai (kehidupan) rakyat biasa.

“Ada kala, apabila pemimpin daripada keturunan bangsawan dan diraja, kecenderungan untuk tidak memahami penderitaan rakyat biasa jelas.”

Beliau membangkitkan kata-kata yang sering dikaitkan dengan Ratu Perancis Marie Antoinette yang mengarahkan orang miskin yang kelaparan dan tiada roti untuk memakan kek.

“Perkara pokoknya ialah pemimpin diketahui (bersikap) jauh (dengan rakyat) sehingga kesusahan yang boleh diselesaikan dibiarkan kekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata ada juga pemimpin daripada keturunan biasa mengabaikan penderitaan rakyat kerana sikap tidak peduli mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");