Berita Hari Ini

Kedudukan EXCO Hak Mutlak MB Dan Parti – Aziz Bari

IPOH: Dr Abdul Aziz Bari menerima apa saja keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, terhadap kedudukannya sebagai EXCO kerajaan negeri kerana ia adalah hak mutlak ketua kerajaan negeri dalam membuat keputusan.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam sekitar negeri, berkata selain Menteri Besar, kedudukannya dan anggota EXCO lain ditentukan oleh kepimpinan parti masing-masing.

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, (pelantikan EXCO) adalah prerogatif (hak mutlak) Menteri Besar, dan dalam konteks kerajaan campuran di Malaysia dan Perak, itu (keputusan mencadangkan nama untuk EXCO) adalah hak parti.

“Apa yang dinyatakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar adalah selaras dengan itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, pada sidang media selepas majlis rumah terbukanya sempena sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar Khamis lalu, yang memetik kenyataan Ahmad Faizal bahawa tiada rombakan EXCO kerajaan negeri seperti didakwa kerana berpuas hati dengan prestasi mereka selain tidak akan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri.

Sebelum ini, wujud spekulasi Abdul Aziz dan ADUN Kuala Kurau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari akan digugurkan dalam rombakan EXCO selepas setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Abdul Aziz dikatakan akan digantikan oleh ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin manakala Abdul Yunus dikatakan akan digantikan dengan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak, berkata sebenarnya tiada peruntukan undang-undang yang menyatakan pelantikan EXCO kerajaan negeri perlu dilakukan setiap tahun.

“Orang (ADUN) boleh berhenti (selepas dilantik sebagai EXCO) dalam tempoh sehari, sebulan, setahun atau dua tahun tapi peruntukan untuk pelantikan semula setiap tahun itu tiada,” katanya.

Beliau mengakui keputusan tidak melakukan rombakan EXCO kerajaan negeri membolehkan setiap EXCO dilantik menjalankan tugasan dan perancangan portfolio masing-masing secara berterusan tanpa gangguan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang memegang jawatan itu masih tertakluk kepada keputusan parti sama ada mahu mengekalkan seseorang individu itu atau menggantikannya dengan ADUN lain kerana sebarang kedudukan dalam kerajaan ditentukan oleh parti yang memerintah.

“(Kita) tidak boleh menolak dan kita perlu akur kedudukan dalam kerajaan ditentukan dalam parti, jika parti adakan pemilihan dan ada perubahan, siapa kita untuk menolak kehendak perwakilan.

“Kita perlu akur bahawa parti yang menguasai kerajaan dan berhak melakukan perubahan dalam parti di mana-mana pun termasuk ketika dalam Barisan Nasional (BN) dulu.

“Jika ada (perubahan kedudukan dalam parti), akan ada perubahan dalam kerajaan dan ia satu perkara yang saya fikir kita harus akur,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");