Berita Hari Ini

Kes Rasuah Rosmah Pindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Mahkamah hari ini telah membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor agar dakwaan kes rasuah RM5 juta yang dihadapinya dipindahkan dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi di sini.

Sejurus selepas mendengar hujah kedua-dua pihak tanpa bantahan, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan perpindahan kes Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Mohd. Nazlan yang membenarkan kes tersebut dibicarakan bersama dua lagi kes yang dihadapi Rosmah dan membuat keputusan sedemikian kerana ia dapat mempercepatkan perbicaraan berikutan kepentingan umum.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan untuk diri sendiri iaitu wang tunai RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, 60, melalui pembantunya, Rizal Mansor, 45.

Perbuatan itu sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini pada 20 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Rosmah yang mengenakan baju kurung serta tudung putih diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir kelihatan tenang dan ceria.

Isteri Datuk Seri Najib itu sempat beramah mesra dengan sekumpulan pelajar jurusan undang-undang di luar lif mahkamah yang ditemuinya. -MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");