Berita Hari Ini

Ketulenan Video Masih Dalam Siasatan – Timbalan KPN

KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan ketulenan video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata siasatan berhubung kes itu sedang giat dijalankan.

“Siasatan kes itu sedang berjalan dan kami masih menunggu siasatan berkenaan dilengkapkan, ia termasuklah siasatan bagi mengenal pasti ketulenan video berkenaan.

“Siasatan kita ‘across the board’, sesiapa saja yang dirasakan perlu bagi membantu siasatan kes ini akan dipanggil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk siasatan disiapkan.

“Ketika siasatan berjalan, tiada ‘time bar’ atau ‘deadline’ ditetapkan, kita mahu lakukan siasatan yang sempurna.

“Mengenai tangkapan baharu, kita tiada perincian lagi setakat ini, siasatan berjalan setiap hari dan kita tidak boleh dedahkan ia secara terperinci.

“Menjadi iltizam kita juga untuk menyelesaikan setiap siasatan yang kita jalankan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan daripada kumpulan bersenjata yang menculik 10 nelayan Bajau Laut di perairan Felda Sahabat Lahad Datu, Sabah, awal pagi semalam.

“Siasatan masih berjalan dan kami masih menunggu perkembangan terkini berhubung kes ini daripada Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, 10 nelayan berkenaan dilaporkan diculik oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf daripada dua bot nelayan di perairan Lahad Datu ketika dalam perjalanan menuju ke Semporna.

Mereka dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina, kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

Kesemua mangsa berumur 17 hingga 60 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya memiliki Surat Lepa-Lepa sebagai pengenalan diri untuk mereka tinggal di negara ini.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");