Panasnya Hari Ini

Kredibiliti, Integriti Lathefa Tak Boleh Dipertikaikan

MELAKA: Di sebalik kritikan berhubung proses lantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, tiada pihak boleh mempertikaikan kredibiliti serta integriti dimiliki wanita berkenaan.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata dua faktor berkenaan adalah tunjang kekuatan Latheefa yang melayakkan beliau menerajui kepemimpinan SPRM di suatu tahap baharu.

“Saya fikir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun memberikan penjelasannya (melantik Latheefa). Cuma yang dibangkitkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pihak yang mempertikaikan (keputusan) adalah soal proses.

“Sesetengah pihak membuat perbandingan contohnya pelantikan Ketua Polis Negara, pelantikan Peguam Negara, pelantikan Ketua Hakim Negara yang juga tidak melalui proses yang sepatutnya di bawah Jawatankuasa Pemilihan di peringkat Parlimen.

“Suatu perkara yang tuntas, tak sesiapa pun pertikaikan kredibiliti dan integriti… Dua perkara ini menjadi modal kuat yang ada pada Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri Parlimen Hang Tuah Jaya, Pengkalan Batu, di Melaka Sentral, di sini, pada Sabtu.

Shamsul berkata, semua pihak kini harus akur memandangkan pelantikan Latheefa sudah pun dibuat, seterusnya wajar memberikannya ruang membuktikan kemampuan menerajui SPRM sepanjang tempoh dua tahun.

“Beliau sendiri menyahut cabaran (menerajui SPRM), khususnya bagi melakukan reformasi di SPRM yang kita tahu bukan suatu perkara yang mudah. Mungkin pada hemat Perdana Menteri, perlu ada individu di luar sistem untuk membuat perubahan ini.

“Di sebalik kritikan dibuat pelbagai pihak khususnya pembangkang yang menjadikan beliau sebagai sasaran, saya fikir mereka (pembangkang) kini patut risau kerana Latheefa tentunya memberi tumpuan terhadap usaha reformasi SPRM dan membawa kes rasuah yang solid ke muka pengadilan,” katanya.

Ditanya adakah wujud sentimen ‘kepartian’ berhubung pelantikan Latheefa ke jawatan utama SPRM itu, Shamsul yang juga Ketua Penerangan PKR, berkata tidak timbul isu kepartian kerana bekas ahli PKR itu sendiri sudah hampir sepenggal tidak aktif serta mempunyai sebarang jawatan khusus dalam parti selepas memilih untuk fokus dalam bidang guaman.

“Apa yang penting adalah kualiti, tanpa melihat latar belakang parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");