Berita Hari Ini

Latheefa Diminta Banteras Rasuah Di Bawah Pentadbiran PH Dan BN

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya perlu membanteras rasuah, sama ada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), secara lebih berkesan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata itu antara perkara yang dipersetujui secara bersama antaranya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membabitkan peranan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan selama 30 minit antara mereka di Putrajaya, hari ini.

“Kami berdua bersetuju kegiatan membanteras rasuah, sama ada di bawah kerajaan PH atau BN, perlu lebih berkesan dilakukan Latheefa dan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pertemuan sama, Anwar turut menjelaskan kepada Dr Mahathir berhubung konteks persoalan mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Saya juga maklumkan kepada Tun Dr Mahathir, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengutuskan surat untuk bertemunya,” katanya, memaklumkan pertemuannya dengan Perdana Menteri turut membincangkan isu lain, termasuk hal ehwal antarabangsa.

Sebelum ini, Anwar meminta Dr Mahathir memberi penjelasan berhubung pelantikan bagi Latheefa Koya mengetuai SPRM.

Bagaimanapun, beliau kemudian menggesa semua pimpinan PH menerima keputusan Perdana Menteri itu, serta memberi ruang kepada Latheefa menjalankan tugasnya.

Polemik berhubung pelantikan Latheefa bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal, tercetus selepas Dr Mahathir mengakui tidak berbincang dengan Kabinet berhubung pelantikan itu.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau memilih Latheefa kerana perwatakannya yang tegas dan berani bercakap benar.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong turut dilaporkan berkata, pihaknya tidak dirujuk dalam pelantikan itu.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");