Berita Hari Ini

Latheefa Pengerusikan Mesyuarat Pertama SPRM

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, semalam, mempengerusikan mesyuarat pertama bersama semua pengarah bahagian dan negeri selepas dilantik orang nombor satu agensi membanteras rasuah pada 1 Jun lalu.

Jurucakap SPRM berkata, pertemuan terbabit berlangsung hampir tiga jam bermula jam 9.30 pagi, bagi sesi suai kenal dan penerangan berkaitan organisasi, operasi serta pencegahan.

“Pada pertemuan itu juga, bekas Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut meminta semua pengarah bahagian dan negeri memberi kerjasama dan sokongan kepada Latheefa dalam usaha memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

“Sepanjang pertemuan terbabit, pelbagai perkara dibincangkan dan dikongsi antara semua yang hadir dalam memastikan usaha membanteras rasuah terus diperkasakan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

BH sebelum ini melaporkan Mohd Shukri yakin Latheefa yang juga seorang peguam mampu menjadi Ketua Pesuruhjaya yang baik jika berpegang kepada tiga perkara termasuk tidak takut dengan tekanan dan tidak gentar pihak berkepentingan.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau sendiri memilih Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana perwatakannya yang tegas, bercakap apa yang benar dan tidak menipu.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020 selepas bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memaklumkan dia hanya mengotakan janjinya yang sudah dirancang dari awal, selain misinya sudah berjaya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");