ARAU: Lebih 20,000 pandangan diterima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung cadangan mekanisme baharu pembayaran semula pinjaman yang sebelum ini diperkenalkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata pandangan itu diterima daripada 20,000 individu yang menghantar pendapat masing-masing melalui aplikasi WhatsApp dan laman sesawang PTPTN.
Beliau menjangka pihaknya akan terus menerima pandangan daripada orang ramai sehingga tarikh akhir pada 13 Jun ini.
“Pelbagai cadangan sudah diterima baik secara umum dan khusus, malah pihak kami masih menelitinya secara terperinci kesemua cadangan itu.
“Satu laporan akan dikeluarkan pada hujung bulan ini bagi mengenengahkan idea yang dilihat bernas oleh PTPTN,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka BERSATU Arau di kediaman bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Hamid Pawan Teh, di sini hari ini.
Sebelum ini, PTPTN meneliti beberapa cadangan daripada kumpulan tertentu seperti pemegang taruh, institusi kewangan, ahli akademik termasuk pensyarah dan mahasiswa dalam merangka mekanisme baharu pembayaran balik hutang PTPTN.
Antara cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan terbabit dalam Kertas Konsultasi Rakyat, adalah melaksanakan semula penyenaraian hitaman nama peminjam dari keluar negara dan peminjam tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan seandainya gagal melunaskan hutang pinjaman.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, pihaknya masih mengadakan perjumpaan bersama pemegang taruh serta kumpulan tertentu bagi membincangkan idea baharu dan perjumpaan seterusnya pada Isnin ini.
“Diskusi umum di setiap universiti awam sudah dijalankan dan kita akan mengkaji lebih menyeluruh setiap dapatan data dan pandangan daripada setiap diskusi terbabit.
“Jadi sebelum 13 Jun ini, kita mengalu-alukan pandangan lain yang lebih bernas daripada umum dan setakat ini saya berpuas hati dengan data terkumpul melalui diskusi umum dan pandangan awam melalui laman web PTPTN,” katanya.- BHarian