Berita Hari Ini

Lelaki Ditahan Acu Pisau Ke Leher Bapa

Seorang lelaki ditahan polis semalam kerana mengamuk dan mengugut bapanya berusia 62 tahun dengan meletakkan pisau belati pada leher dan dada dalam kejadian di Kuala Muda, Penaga, dekat Kepala Batas Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berumur 34 tahun itu turut bertindak mengacukan pisau ke arah ibunya yang datang menenteramkan keadaan semasa dia mengamuk dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu.

“Lelaki itu kemudiannya mencampakkan pisau tersebut dan terus keluar dari rumah mereka sebelum bapanya datang membuat laporan berikutan takut perkara sama berulang pada masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Katanya berikutan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU yang mengadakan Op Cantas berjaya menahan lelaki tersebut kira-kira pukul 5 petang semalam di kawasan Penaga untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap lelaki bekerja sendiri itu mendapati dia positif dadah dan suspek juga mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Katanya lelaki itu kini direman empat hari untuk siasatan membuat ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");