Perak Hari Ini

Lelaki Persoal Tindakan Dikenakan Dua Saman Selepas Enggan Tandatangan Saman Pertama

IPOH: Seorang lelaki mempersoalkan tindakan anggota polis yang mengeluarkan saman trafik ke atasnya kerana enggan menandatangani saman trafik atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

Ng Chee Guan, 56 berkata kejadian berlaku pada awal bulan lalu, ketika dia selesai menghantar anaknya ke sebuah pusat pengajian di Kampar.

Katanya semasa memasuki Jalan Batu Sinar, daripada Jalan Universiti dia telah ditahan anggota polis dalam satu operasi sekatan jalan raya yang berhampiran.

“Saya tidak mengetahui apa kesalahan saya. Seorang anggota yang bertugas mengatakan bahawa saya telah melanggar lampu isyarat di jalan tersebut.

“Saya menafikan dakwaan tersebut kerana saya yakin ketika itu lampu isyarat berwarna hijau dan ada lagi kenderaan yang juga mengikuti belakang kereta saya ketika itu,” katanya.

Chee Guan mendakwa selepas lesen memandu beliau diperiksa, seorang lagi anggota polis telah datang kepadanya dan menegur dengan cara yang kasar serta meminta Chee Guan untuk menandatangani saman trafik atas kesalahan berkenaan.

Selain mengugut untuk dibawa ke balai polis, Chee Guan mendakwa anggota polis tersebut turut menarik kunci keretanya dan mengarahkan dia untuk keluar.

Penerbit buku yang berasal daripada Hutan Melintang itu kemudian keluar akur dan memberikan kerjasama dengan keluar daripada kendaraannya.

“Anggota polis itu kemudian mengambil gambar saya dan mengeluarkan surat saman yang kedua atas ‘kesalahan’ enggan menandatangani notis. Mereka meminta saya untuk pergi merujuk kepada mahkamah,” jelasnya.

Atas rasa tidak puas hati, Chee Guan kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini, pada Sabtu lalu.

“Saya faham dan akur akan undang-undang untuk membayar saman. Tetapi saya mempersoalkan saman kedua itu dan layanan yang kurang mesra ke atas saya oleh pihak berkuasa. Saya bersedia ke mahkamah untuk kes ini,” katanya.

Dia yang ditemui pada satu sidang media di Bangunan MCA Perak, di sini, hari ini, berharap agar perkara tersebut dapat disiasat sewajarnya.

Sementara itu Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata sepatutnya anggota polis terbabit dapat melayani semua pihak dengan cara yang berhemah.

“Kita mempersoalkan dua saman yang dikenakan ke atas pengadu. Polis berhak untuk mengeluarkan saman namun orang awam juga berhak untuk mengetahui lanjut tentang saman yang dikenakan ke atas mereka.

“Saya berharap agar perkara ini segera disiasat. Kita juga tahu tidak semua anggota polis sebegitu. Namun kita tidak mahu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");