Sukan Hari Ini

Liverpool Terlalu Gagah Buat Tottenham

MADRID: Mohamed Salah meledak antara gol terpantas di final Liga Juara-Juara diikuti jaringan lewat Divock Origi ketika Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 2-0, awal pagi tadi bagi menjulang trofi berkenaan buat kali keenam.

Kurang dua minit selepas aksi di Stadium Wanda Metropolitano berlangsung, penyerang Mesir, Salah menyempurnakan penalti selepas Moussa Sissoko didapati menampan bola dikawasan penalti.

Jaringan berkenaan jelas memberikan anak buah kendalian Jurgen Klopp keyakinan dengan penjaga gol, Alisson Becker turut melakukan beberapa aksi menyelamat hebat sebelum pemain gantian, Origi menyumbat gol kedua pada minit ke-87.

Ia pantas mencetus suasana pesta buat peminat Liverpool di gelanggang Atletico Madrid itu yang menyaksikan mereka menebus kekecewaan final tahun lalu selepas tewas kepada Real Madrid 3-1.

Kejayaan yang mengulangi pencapaian hebat pada 2005 turut mengubati duka Reds yang terlepas trofi Liga Perdana kepada Manchester City sekali pun mengutip keseluruhan 97 mata musim ini.

Kemenangan turut mengubati luka Salah yang penampilannya di Kiev, Ukraine dirosakkan dengan kecederaan dan mencetus kelegaan buat Klopp yang memenangi trofi utamanya bersama Liverpool sejak tiba di Anfield, tiga setengah tahun lalu.

Ia turut menamatkan badi pengendali dari Jerman itu di pentas final kejohanan utama selepas enam kali tewas berturut-turut termasuk tiga bersama Liverpool.

Lebih penting, ia adalah gelaran Liga Juara-Juara/Piala Eropah keenam buat Liverpool yang mengukuhkan status mereka sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia.

Mereka kini memiliki koleksi kejuaraan elit itu lebih daripada gergasi Sepanyol, Barcelona dan Bayern Munich selain seteru utama, Manchester United.

Bagi Tottenham, kejayaan mara ke final buat kali pertama dalam sejarah kelab boleh dianggap membanggakan dan tugas menewaskan Liverpool sentiasa sukar buat kelab dari London itu.

Keputusan pengurus, Mauricio Pochettino untuk menyenaraikan Harry Kane dalam kesebelasan utama turut tidak membuahkan hasil dengan pengendali daei Argentina itu terus kempunan trofi sejak lima tahun mengendalikan Spurs.

Selain cuaca panas di Madrid sedikit menggangu rentak permainan, jaringan awal Liverpool turut merosakkan keyakinan Spurs.

Kehadiran Kane menyaksikan Lucas yang menjadi wira Spurs di separuh akhir mengisi bangku simpanan dan penyerang England itu jelas bergelut untuk mendapatkan bola.

Selain itu, Liverpool turut memiliki kelebihan pengalaman selepas  lapan pemain dalam kesebelasan utama mereka turut bermain di pentas final musim lalu.

Dan mereka melakar senyuman selepas pengadil dari Slovenia, Damir Skomina menganugerahkan penalti apabila Sissoko menampan hantaran Sadio Mane menggunakan tangan sebelum Salah menyempurnakan jaringan.

Skuad Pochettino meningkat pada babak kedua tetapi kehadiran Virgil van Dijk bagi menjaga Alisson jelas menjadikan gawang Reds terlalu sukar untuk ditembusi sebelum Origi meledak gol pemusnah. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");