Berita Hari Ini
Like

Mahkamah Tinggi Batal Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Rafizi

June 24, 2019
281 Views
0 Comments
1 minute read
Mahkamah Tinggi Batal Prosiding Hina Mahkamah Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan kebenaran kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail untuk memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Prosiding komital itu berkaitan dua artikel yang disiar di blog Rafizi dan empat artikel di Keadilandaily.com, yang dikatakan berkaitan dengan NFCorp.

BH Online melaporkan Peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi, ketika ditemui berkata Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membatalkan kebenaran itu selepas mendapati tiada asas bagi NFCorp dan Mohd Salleh untuk meneruskan prosiding komital terbabit.

Razlan berkata, ia berikutan pihaknya memaklumkan kepada mahkamah berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Rafizi memfitnah dan memerintahkan anak guamnya membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp serta Mohd Salleh.

“Jika Mohd Salleh menang dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti, maka beliau boleh memfailkan semula prosiding komital ini,” katanya.

Pada 23 Mei 2017, NFCorp dan Mohamad Salleh memperoleh kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Rafizi selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu tetap menerbitkan beberapa artikel mengenai mereka walaupun terdapat perintah mahkamah menghalangnya berbuat demikian.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2016 membenarkan saman fitnah NFCorp dan Mohd Salleh selepas mendapati Rafizi memfitnah suami bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu berhubung pembelian hartanah KL Eco City.

Rafizi juga diperintahkan membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp dan Mohamad Salleh serta kos RM100,000, sebelum keputusan berkenaan diketepikan Mahkamah Rayuan pada 13 Mei lalu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.