TRONOH: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh akan menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Program Wawasan Tronoh Maju, Pendidikan Cemerlang, Tronoh Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo berkata bahawa pendidikan merupakan satu perkara yang amat penting untuk diberi perhatian.
Katanya, inisiatif yang diambil itu merupakan salah satu program kearah pendidikan cemerlang.
Beliau yang juga merupakan ADUN Tronoh menjelaskan bahawa dibawah program tersebut terdapat beberapa inisiatif yang mungkin dapat membantu pelajar-pelajar khasnya kawasan itu bagi mendapatkan pendidikan yang terbaik serta melahirkan pelajar cemerlang.
“Kita akan memberikan tuisyen percuma kepada pelajar dengan tujuan memberikan perkhidmatan kelas bimbingan tambahan percuma terutamanya kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Matapelajaran yang akan diajar adalah Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dan kelas ini akan dibuat di Dewan Perpustakaan Pusing dengan 200 slot disediakan.
“Sebanyak 6 buah sekolah di DUN Tronoh akan mengambil bahagian dalam program ini, antaranya SMJK Yuk Kwan, SMK Sultan Yusuf, SMK Tronoh, SMK TIWA, SMK Pusing dan juga SMK St. Bernadette’s Convent,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Majlis Perasmian Program Wawasan Tronoh Maju, Pendidikan Cemerlang di Pusat Khidmat ADUN Tronoh, di sini, hari ini.
Ujarnya lagi kerajaan negeri juga ada menyediakan kaedah pembelajaran e-learning yang mengikut silibus Kementerian Pelajaran Malaysia dimana ia mengandungi 8000 video merangkumi 100 subjek dari darjah 1 hingga tingkatan 5 yang diboleh dilayari dan diakses di laman web Peraketuition.my.
“Selain itu, kami juga akan memberikan cermin mata percuma kepada pelajar-pelajar sekolah yang terpilih kerana kami menyedari terdapat segelintir pelajar yang amat memerlukan kemudahan pembelajaran tersebut.
“Program ini diharapkan dapat menjadi satu program CSR yang dirancang setiap tahun bagi membantu dan meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan bagi sesi pertama seramai 287 pelajar telah dipilih,”katanya.
Pada perkembangan sama, Paul Yong Choo berkata, sebuah Universiti UCSI bakal membuka kampus cawangannya di Tronoh termasuk pembinaan sekolah antarabangsa yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Satu perjanjian persetujuan telah pun ditandatangani dan kerja-kerja pembinaannya dijangka dapat dimulakan pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Universiti UCSI merupakan universiti swasta yang mempunyai ranking pertama di Malaysia dan juga tersenarai dalam kedudukan 500 universiti terbaik dunia mengikut QS World University Rankings,” katanya lagi.