Berita Hari Ini

MAKAF Dilanda Gelora, 12 Ahli Gabungan Adakan EGM Lancar Undi Tidak Percaya

IPOH: 12 ahli gabungan Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) hari ini sebulat suara meluahkan undi tidak percaya kepada badan induk tersebut dalam satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), hari ini.

Keputusan melaksanakan mesyuarat tersebut adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan MAKAF dimana sekiranya majoriti ahli gabungan telah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran, mereka boleh mendesak EGM dilakukan.

Presiden Karate Putrajaya, Thiago Ponniyah yang juga salah satu ahli gabungan MAKAF berkata kita ada beberapa sebab mengapa mesyuarat ini dilakukan dan antara sebab utama ialah pihak MAKAF sebelum ini telah gagal untuk memanggil dalam mesyuarat majlis tertinggi, kegagalan dalam program Olimpik 2020 dan juga salah guna peruntukan yang telah diberikan.

“Segala dana yang telah diperuntukkan kepada persekutuan tersebut telah salah digunakan dan MAKAF juga telah melanggar perlembagaan dimana segala aktiviti atau tindakan yang diambil adalah tidak mengikuti perlembagaan karate-do Malaysia.

“Pihak pengurusan MAKAF telah membuat perlaburan di salah satu syarikat tanpa kelulusan pihak supreme council atau ahli majlis tertinggi dan juga banyak pegawai-pegawai MAKAF diberikan percutian ke luar negara dengan menggunakan dana yang diterima tanpa sebab sebagai contoh kita ada 8 atlet tetapi 12 orang pegawai yang mengikutinya dan ini merupakan satu bentuk pembaziran duit.

“Kami mempunyai segala bukti sebagai contoh penyata kewangan yang menyatakan dana MAKAF telah digunakan dengan salah untuk kepentingan diri sendiri sebagai contoh percutian para pegawai exco MAKAF,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media Mesyuarat Agung Luar Biasa Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) di Hotel Tower Regency, Ipoh, hari ini.

Sebanyak 12 ahli gabungan daripada 22 ahli gabungan dengan seramai 58 orang ahli telah hadir ke mesyuarat tersebut bagi menunjukkan undi tidak percaya dan antaranya ialah Persekutuan Karate Goshin-Ryu Malaysia, Persekutuan Karate Hayashi-Ha Malaysia, Persekutuan Karate Do Goju-Kai dan juga Persatuan Karate Negeri Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Pahang, Perlis, Putrajaya dan Sarawak.

Ujar Thiago lagi, mesyuarat ini dibuat adalah mengikut perlembagaan dan juga Akta Pembangunan Sukan 1997 ( Akta 576) yang telah ditetapkan.

“Mengikut seksyen 23 akta tersebut, kita perlu mengadakan penyelesaian dalaman terlebih dahulu dan EGM ini merupakan salah satu bentuk penyelesaian dalaman mengikut akta tersebut.

“Selepas ini kita akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat Agung Dwi-tahunan (BGM) dan sekiranya kita tidak dapat menyelesaikan masalah ini, kita akan merujuk kepada seksyen 24 Akta Pembangunan Sukan iaitu menteri akan mengambil alih kes ini dan mereka akan membuat keputusan dan sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati baru akan dibawa ke makhamah selepas keputusan menteri.

“Majlis pesuruhanjaya sukan juga telah pun memberi tahu bahawa kita perlu mengikut perlembagaan (Akta Pembangunan Sukan) sebelum mengambil apa apa tindakan sebagai contoh penyelesaian dalaman dan mereka tidak akan campur tangan.

“Apa yang hanya kami mahukan adalah sebuah pentadbiran dan pengurusan yang cekap dan berdasarkan keputusan undi tidak percaya hari ini, status pentadbiran akan diambil alih oleh jawatankuasa Ad-Hoc yang telah dipersetujui oleh 12 ahli gabungan MAKAF sehingga Mesyuarat Permilihan Majlis Eksekutif yang baru dilaksanakan dalam tempoh 30 hari seperti mana yang telah termaktub dalam perlembagaan MAKAF,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");