Sukan Hari Ini

Malaysia Pesta Gol, Syafiq Derita

KUALA LUMPUR: Di sebalik kemenangan besar 7-1 Harimau Malaya ke atas Timor Leste pada aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, skuad negara turut dipalit berita kurang gembira membabitkan penyerang negara, Syafiq Ahmad.

Walaupun pengendali negara Tan Cheng Hoe gembira dengan kejayaan itu, dia mungkin terpaksa melupakan khidmat Syafiq ekoran kecederaan yang dialaminya agak serius.

Bagaimanapun, kelibat Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Faiz Nasir yang masing-masing turut menyumbangkan satu gol menghadirkan sedikit kelegaan buat Cheng Hoe.

“Ini hadiah untuk sambutan Hari Raya kepada semua penyokong dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Cheng Hoe.

“Pada masa sama, saya bimbang dengan Syafiq Ahmad. Mungkin dia (cedera) serius namun sama-samalah kita mendoakan yang positif kepadanya.

“Kita ada pilihan lain kalau Syafiq tidak boleh bermain (pada perlawanan kedua) dan saya harap pemain itu boleh galas tugas berkenaan.”

Pada perlawanan malam tadi, Harimau Malaya menamatkan babak pertama dengan kelebihan 4-0 menerusi jaringan La’ Vere Corbin Ong pada minit ke-10, Shahrel Fikri (m-22), Norshahrul Idlan Talaha (m-42) dan Safawi Rasid pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Safawi menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-59 sebelum pemain gantian, Faiz dan Akhyar turut mencipta nama selaku penjaring pada minit ke-78 dan 89.

Jaringan tunggal Timor Leste dijaringkan oleh kaptennya, Joao da Silva Freitas pada minit ke-51.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe jelas gembira dengan komitmen anak buahnya yang melupakan seketika juadah Hari Raya untuk menghidangkan “juadah” buat 4,244 penyokong setia Harimau Malaya.

“Prestasi baik dipamerkan oleh pemain tetapi ia masih belum sempurna dan kami perlu bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Apa pun kami tidak boleh terlalu yakin untuk menghadapi perlawanan kedua dan perlu kekalkan intensiti serta tempo seperti ini,” katanya.- BHarian

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");