Perak Hari Ini

Masalah Parkir KK Kampung Simee Akan Diatasi- Sivanesan

IPOH: Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Klinik Kesihatan Kampung Simee bukanlah perkara baru dan permasalahan ini dilihat semakin meruncing tahun demi tahun.

Difahamkan, klinik berkenaan bukan sahaja menerima pesakit dari Kampung Simee sahaja bahkan penduduk dari beberapa kawasan berhampiran seperti Bercham, Tasik, dan beberapa kawasan lain bagi menggunakan perkhidmatan perubatan yang disediakan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, kerajaan akan cuba mencari jalan bagi mengatasi masalah kekurangan tempat meletak kenderaan yang dihadapi oleh pengunjung klinik tersebut.

“Kita akan mengkaji cara bagi menyelesaikannya dan juga berbincang jika terdapat tanah di kawasan berkenaan yang sesuai untuk dijadikan tempat meletak kenderaan.

“Jika masih tiada solusi, mungkin kita akan cuba dapatkan budi bicara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ipoh yang berada di hadapan kawasan klinik untuk digunakan tempat meletak kenderaan mereka hanya untuk waktu pagi iaitu semasa waktu puncak.

“Kita lihat bagaimana nanti, kerana perkara ini memerlukan perbincangan serta kerjasama pihak kerajaan negeri dalam usaha kita memberikan perkhidmatan serta kemudahan yang selesa kepada semua khususnya kakitangan dan pesakit.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Kampung Simee, hari ini.

Tinjauan tersebut turut dihadiri oleh ADUN Canning, Jenny Choy.

Ujarnya lagi, jika dahulu para pengunjung boleh menggunakan tanah kosong di dalam kawasan klinik tersebut untuk meletakkan kenderaan mereka, tetapi kini tanah tersebut telah dinaik taraf untuk dijadikan banggunan farmasi klinik berkenaan.

“Hasil tinjauan saya harini bersama para pengunjung klinik tersebut mendapati bahawa mereka sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh klinik itu.

“Ramai yang memuji perihal layanan yang diberikan, kakitangan yang mesra serta kecepatan waktu dalam pengurusan oleh kakitangan klinik tersebut akan tetapi rata-rata mereka memohon agar menyelesaikan masalah tempat meletak kenderaan yang dianggap memberi masalah kepada mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");