Berita Hari Ini

Maut Selepas 12 Jam Terbabit Pergaduhan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai cedera di kepala akibat pergaduhan berpunca insiden terlanggar bahu ditemui maut di rumahnya di Taman Perling, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah pusat hiburan di Taman Abad, di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini, jam 2.30 pagi semalam.

“Terdahulu, polis menerima laporan mengenai satu pergaduhan sebelum sepasukan anggota menahan 10 lelaki dan seorang wanita di kawasan itu.

“Pergaduhan dipercayai berlaku disebabkan salah faham membabitkan dua pihak yang berpunca daripada insiden terlanggar bahu di dalam pusat hiburan berkenaan. Ketika itu, polis tidak menerima laporan mana-mana pihak mengalami kecederaan serius.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 2.30 petang semalam, kita menerima laporan penemuan mayat mangsa dan siasatan mendapati dia dipercayai turut terbabit dalam pergaduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat pukulan menggunakan objek tumpul.

Katanya, berikutan itu, semua 11 suspek terbabit direman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zamri Shariff di talian 019-4240480.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");