Berita Hari Ini

MBI Sita Lima Gerai Peniaga Durian Tanpa Lesen

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyita lima gerai peniaga durian tanpa lesen dalam operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan berkaitan aktiviti menjual buah itu yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar raya ini, semalam.

Beberapa lokasi yang menjadi tumpuan penjual durian sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas ialah di Lebuh Perajurit, Taman Ipoh Timur dan Jalan Simpang Pulai berhampiran gerai Limau Tambun.

MBI dalam satu kenyataan, hari ini, berkata melalui operasi dijalankan di Taman Lebuh Perajurit, lima peniaga durian didapati memiliki lesen perniagaan buah-buahan bermusim yang sah daripada MBI, manakala lima peniaga lain tiada lesen.

“Peniaga terbabit diarahkan berpindah ke tempat lain yang dibenarkan dan memohon lesen perniagaan buah-buahan bermusim, manakala satu khemah disita kerana ketiadaan peniaga pada masa pemeriksaan dijalankan oleh MBI.

“Pemeriksaan juga dijalankan di sekitar kawasan perniagaan Limau Tambun di mana lima peniaga durian diarahkan berpindah ke tempat lain yang lebih sesuai dengan serta-merta bagi mengelakkan berlaku masalah kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular video berdurasi tiga minit 21 saat melalui media sosial dengan penguat kuasa MBI dilihat merampas dan menyita buah serta khemah peniaga durian yang dikata menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Simpang Pulai berhampiran gerai jualan Limau Tambun.

Menjelaskan lanjut, menurut kenyataan itu, MBI sudah mengadakan lawatan pertama pada 18 Jun lalu dan memberi amaran pertama kepada peniaga terbabit.

Katanya, lawatan kedua pula diadakan pada 20 Jun lalu dan memberi amaran kedua kepada peniaga durian di Jalan Gopeng, Simpang Pulai, berhampiran gerai Limau Tambun.

“Pada 26 Jun 2019 (semalam), seramai 50 anggota penguat kuasa MBI menjalankan operasi menyita terhadap peniaga durian tanpa lesen yang masih berniaga di situ.

“Lima peniaga diambil tindakan sitaan selepas ingkar arahan dikeluarkan dan masih berniaga di lokasi berkenaan. Dua daripada peniaga itu sudah membuat tuntutan ke atas barangan disita, dan MBI mengurangkan kadar denda sitaan terhadap mereka daripada RM450 kepada RM200,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil susulan banyak rungutan berkaitan kesesakan lalu lintas disebabkan tindakan kenderaan berhenti untuk membeli buah-buahan di laluan terbabit yang boleh mengundang bahaya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");