Panasnya Hari Ini

MP: Perbezaan Dr M, Anwar Bukti Demokrasi Dalam PH

Perbezaan pandangan antara perdana menteri dan presiden PKR dalam isu pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membukti demokrasi dalam Pakatan Harapan (PH).

Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Anwar Ibrahim bertindak betul apabila meminta penjelasan daripada perdana menteri mengenai pelantikan itu berdasarkan janji Manifesto PH.

Namun katanya, dari segi undang undang keputusan Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa tanpa merujuk kabinet dan parlimen adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang undang sedia ada.

“Perbezaan pandangan dan pendekatan antara Mahathir dan Anwar dalam isu perlantikan Latheefa Koya ini menunjukkan wujud demokrasi yang segar dalam Pakatan Harapan.

“Tradisi demokrasi ini akan menjadi semak dan imbang supaya perdana menteri tidak akan menjadi autokrasi dan kabinet tidak menjadi rubber stamp atau lebih parah jika menjadi oligarki,” katanya dalam kenyataan media.

Pelantikan Latheefa sebagai ketua SPRM yang baru menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada Badan Peguam dan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Latheefa sebelum ini pernah memegang jawatan dalam jawatankuasa kepimpinan pusat PKR dan merupakan ketua biro perundangan parti itu.

Sebelum dilantik ke jawatan barunya, Latheefa merupakan pengasas dan pengarah NGO Lawyers for Liberty.

Anwar pada 7 Jun lalu membangkitkan beberapa isu, antaranya kabinet tidak dimaklumkan dan pelantikan itu tidak selari dengan janji dalam manifesto PH.

Namun Mahathir berkata keputusan tersebut adalah muktamadsepertimana beliau melantik pegawai lain.

Menurut Hassan, pelantikan Latheefa tidak seharusnya membawa perpecahan kepada PH, malah perdana menteri juga telah mengumumkan keputusan tersebut adalah muktamad.

“Sama ada suka atau tidak, kita perlu terima keputusan PM itu.

“Saya percaya teguran dan pandangan dari Anwar Ibrahim dalam isu ini akan menyedarkan PM supaya merujuk kepada kabinet dan Majlis Kepimpinan Tertinggi PH dalam membuat keputusan keputusan besar negara pada masa masa akan datang,” tambah beliau.

Jelasnya, kepimpinan PH perlu merapatkan saf kepimpinan dengan mengadakan dialog dan perbincangan agar agenda reformasi dalam institusi negara diteruskan.

“Jadikan episod pelantikan Latheefa Koya ini sebagai satu pengajaran dan teladan. PH perlu bergerak ke depan dengan lebih bersatu,” jelasnya.

Sehubungan itu Hassan meminta agar petisyen untuk menggesa Latheefa Koya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihentikan.

“Latheefa Koya mempunyai merit untuk memikul tanggungjawab memerangi rasuah di negara Malaysia tercinta ini selagi beliau menjunjung amanah untuk bertindak tegas tanpa takut dan pilih kasih.

“Sebarang kempen atau petisyen untuk memaksa Latheefa Koya meletak jawatan seeloknya dihentikan kempen dan petisyen itu.

“Beri ruang dan peluang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu menjalankan tugasnya,” katanya.

Petisyen anjuran Change.org itu bermula sejak 6 Jun lalu dan setakat jam 11 pagi ini lebih 5,000 telah menandatanganinya lapor MKini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");