Berita Hari Ini

Mujahid: Jawi Akan Teliti Aduan Video Seks

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan meneliti aduan mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamad Azmin Ali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya untuk siasatan pihak berwajib.

“Pihak JAWI akan meneliti aduan tersebut mengikut bidang kuasa dan seksyen kesalahan berkaitan berdasarkan peruntukaan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.

“Saya juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sewajarnya terhadap laporan yang telah dibuat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis serahan Zakat Korporat, di Hotel Tenera Bangi hari ini.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan qazaf yang difailkan oleh Setiausaha Politik Azmin, Muhamad Hilman Idham di Jawi hari ini.

Selain itu Mujahid juga ditanya adakah Jawi akan memanggil kedua-dua pelaku lelaki tersebut.

Menurut Mujahid, Jawi mempunyai prosedur siasatan untuk memanggil kedua-dua pelaku, namun bergantung di mana perbuatan itu dilakukan kerana kesalahan syariah terletak pada pada kuasa agama negeri masing-masing.

“Ia (siasatan) akan ada prosedur (panggil kedua-dua pelaku) dan itu pun kena disahkan dulu benda (seks) itu berlaku di mana, itu masih di peringkat awal.

“Ia juga terpulang kepada penguatkuasaan kerana dalam undang-undang Islam kalau perkara itu berlaku di negeri, maka bidang kuasa tersebut terlepas kepada negeri itu,” katanya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung video tersebut.

Abdul Hamid juga pada masa sama tidak menolak kemungkinan akan memanggil individu didakwa terbabit dalam video itu bagi membantu siasatan.

‘Akui maksiat cemar kesucian Islam’

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam video lucah berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi serta memusnahkan karier politiknya.

Sementara itu, Mujahid turut melahirkan rasa kecewa dengan budaya politik kotor itu dan menasihati umat Islam untuk berhenti menyebarkan video berkenaan.

“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kita harus berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan serta merendahkan maruah kita dengan politik yang menjijikan.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah masyarakat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat. Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam,” katanya.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");