Berita Hari Ini

MySalam Diperluaskan Ke Hospital Universiti, hospital Tentera

PUTRAJAYA: Selepas diperkenalkan pada 24 Januari lalu, Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) kini diperluaskan kepada hospital perubatan universiti dan hospital tentera bertujuan memudahkan golongan itu mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan inisiatif itu masing-masing membabitkan lima hospital perubatan universiti dan lima hospital tentera.

Selain Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), turut terbabit dalam pelaksaan skim itu ialah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hospital UiTM Sungai Buloh.

Bagi hospital tentera pula, yang terbabit dalam usaha ini ialah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Angkatan Tentera Lumut; Hospital Angkatan Tentera (Kem Terendak), Hospital Tentera Darat (Gemas) dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

“Kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah inovatif dengan memperluaskan jumlah hospital bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar.

“Atas dasar keprihatinan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, Skim mySalam kini merangkumi rawatan yang diterima di hospital perubatan universiti dan hospital tentera.

“Ia boleh dimanfaatkan selepas pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerimanya.,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Guan Eng berkata, Skim mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adalah skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

Katanya, skim berkenaan adalah hasil kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion ke dalam dana amanah mySalam.

“Ia adalah perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus (one-off) sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal, termasuk kanser, jantung dan penyakit alzheimer.

“Ia menawarkan elaun hospital RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");