Berita Hari Ini

NIOSH Cadang Semua Bangunan Mohon FC

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (NIOSH) mencadangkan semua bangunan kerajaan memohon Sijil Perakuan Bomba (FC) seperti yang disyaratkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini bagi memastikan semua bangunan milik kerajaan mempunyai FC pada penghujung tahun ini demi keselamatan sekiranya berlaku kebakaran.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata beliau berharap JBPM dengan kerjasama agensi lain akan memeriksa bangunan di seluruh negara termasuk memastikan premis terbabit mematuhi peraturan keselamatan kebakaran.

Tegas beliau, pemeriksaan itu juga bagi memastikan pemilik bangunan mendapat atau memperbaharui FC serta tidak menggunakan panel pelindung mudah terbakar.

“Di Selangor sebagai contoh, dilaporkan hanya 50 peratus daripada 1,701 premis yang beroperasi di negeri itu mempunyai FC.

“FC penting kerana JBPM akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem keselamatan bangunan seperti peralatan penggera kebakaran, pemadam api dan kewujudan laluan kecemasan yang tidak terhalang.

“Di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988, sembilan kategori premis perlu mempunyai FC iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama dan dormitori, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan storan serta am,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa kira-kira 140 daripada 649 bangunan milik kerajaan di seluruh negara masih tidak mempunyai FC dan 39 daripadanya terletak di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Lam Thye menegaskan pemilik premis wajib memohon untuk mendapatkan FC sebaik saja memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF), Sijil Kelayakan Menduduki Sementara (TCF), Sijil Siap atau Pematuhan (CCC) serta perlu memperbaharui sijil perakuan itu setiap tahun.

“Pihak berkuasa harus memastikan semua pihak mematuhi peraturan keselamatan kebakaran sedia ada termasuk keperluan untuk mendapatkan FC.

“Selain bangunan kerajaan, premis perniagaan dan bangunan milik swasta perlu dipastikan memiliki FC kerana masih banyak yang tidak mematuhi peraturan.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang. Jika tidak, kita akan terus berhadapan dengan kebakaran yang boleh meragut lebih banyak nyawa dan mencederakan ramai lagi,” katanya. -BHarian

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");