Berita Hari Ini

Orang Asli Kuala Koh Sedia Bantu Kebumi Rakan

GUA MUSANG- Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini, sedia membantu mengebumikan 15 rakan mereka mengikut syariat Islam yang meninggal dunia akibat wabak demam campak.

Guru Agama Orang Asli daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Mohd Fadzli Mamok berkata keputusan untuk mengebumikan 15 mayat itu dalam satu liang lahad turut dipersetujui anggota keluarga mangsa dan penduduk kampung.

“Anggota keluarga dan penduduk menerima dengan hati terbuka mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh MAIK yang mendapati 15 mangsa yang meninggal adalah beragama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Aring 10 di sini, hari ini, lapor Bernama.

Semalam, MAIK mengesahkan kesemua 15 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh yang meninggal dunia sejak awal Mei lepas adalah beragama Islam.

Ketua Pegawai Agama MAIK Murtadha Abdullah dilaporkan berkata hasil penyiasatan dan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Gua Musang mendapati jenazah kini di peringkat akhir proses bedah siasat dan kesemua mereka adalah Islam.

Sebelum ini, kebanyakan mayat Orang Asli yang dipercayai meninggal dunia akibat sejenis penyakit, dikebumikan mengikut adat mereka, termasuk ada yang diletakkan di atas para pokok.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fadzli berkata sebilangan besar masyarakat itu yang berpindah ke dalam hutan, kini mulai kembali ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun beliau berkata masih terdapat kumpulan Orang Asli suku Batek yang masih tinggal di dalam khemah di tepi sungai kerana masih takut dengan jangkitan demam campak.

Katanya usaha memujuk kumpulan Orang Asli yang tinggal di dalam khemah sedang giat dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan agar saringan kesihatan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");