Berita Hari Ini

Padam Persepsi ‘Janji Melayu’

Nak kena call ke tak ni? Sudah lebih setengah jam tunggu. Janji Melayu sungguh,” keluh isteri selepas menunggu pekerja membaiki pendingin hawa tak sampai ke rumah. Keluhannya yang dikaitkan dengan sikap buruk orang Melayu mencetuskan idea untuk saya menulis komentar kali ini.

Kita sering mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya ungkapan ini membawa maksud negatif, merujuk janji yang tidak ditepati, terutama berkaitan masa. Tidak pula diketahui sejak bila ungkapan itu bermula dan kenapa dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

Apakah betul masyarakat Melayu tidak suka menepati janji, sedangkan perkara yang sangat dituntut terhadap orang Islam ialah menunaikan janji sesama Muslim atau sesiapa sahaja.

Kenapa Melayu yang dikaitkan dengan perbuatan memungkiri janji? Kenapa tidak bangsa lain? Saya bukan mahu bersikap rasis kerana menyalahkan satu bangsa tidak membawa apa-apa faedah.

Hakikatnya, setiap bangsa mempunyai kelemahan yang hanya boleh diatasi apabila bangsa itu sendiri menyedari kelemahan mereka dan mengambil inisiatif untuk berubah menjadi yang terbaik.

Menunaikan janji sangat dituntut dalam Islam sama ada perkara dijanjikan itu kecil atau besar, selagi tidak memesongkan akidah dan membawa kepada pergaduhan.

Apabila seseorang berjanji pada waktu dan tarikh ditetapkan, hendaklah ditunaikan walau apapun halangan. Lambang keperibadian Muslim yang baik dan disenangi terletak pada ketegasan dalam menepati janji.

Mungkir janji tanda munafik

Andai ada sesuatu yang tidak boleh dielak, batal atau diubah tarikh dan waktu yang dijanjikan. Maklumkan lebih awal supaya individu atau pihak lain tidak terus menanti.

Tidakkah kita terfikir akan dipandang serong oleh kaum lain? Sebagai Melayu dan beragama Islam, kita harus malu dengan ungkapan ini. Islam mengutuk perbuatan mungkir janji yang disamakan dengan orang munafik.

Bangkitlah Melayu dan ubah mentaliti. Padamkan ungkapan ‘janji Melayu’, sebaliknya gantikan ungkapan itu dengan tindakan yang benar.

Perkara ini harus diubah dan dimulakan dengan didikan ibu bapa. Kalau ibu bapa pun acuh tak acuh dengan janji, generasi muda akan mencontohinya dan sampai bila masyarakat Melayu hendak berubah? Islam sangat mementingkan masa. Semua orang Melayu tahu bab ini.

Saya pernah ke Tokyo pada 2013 dan kagum dengan sikap orang Jepun. Lihat sahaja sistem kereta api berkelajuan tinggi atau bullet train, Shinkansen di Negara Matahari Terbit itu. Ia bukan sekadar melangkaui bidang pengangkutan, namun memupuk nilai warga Jepun menepati masa, keselamatan, kecekapan operasi, ketekunan serta budaya kerja positif.

Menerusi sistem ini, banyak kebiasaan yang baik dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia dari segi disiplin, terutama ketepatan waktu. Orang Jepun tahu jika mahu menaiki Shinkansen, mereka mesti tiba tepat pada masanya, jadi ia memberi pengajaran kepada kita.

Saya bukan mahu membandingkan budaya orang Jepun dengan kita, tetapi mereka adalah contoh zaman moden yang patut kita ikut, selain sunah Rasulullah.

Dalam hal ini, saya suka dengan sikap teman sepejabat, Anwar Hussin. Dia akan tepat berada di hadapan pagar rumah saya dengan kereta buatan Jepun, Honda Civic, pada masa yang dijanjikan untuk kami bersama dari rumah di Sungai Buloh ke ibu pejabat di Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Kalau dia berjanji sampai jam 8.10 pagi, tepat jam 8.10 pagi dia berada di hadapan pagar rumah saya. Begitulah sebaliknya apabila giliran saya mengambil dia di rumahnya.

Wahai Melayu, dengarlah. Hentikan persepsi buruk dengan ungkapan ‘janji Melayu’. Janganlah berterusan begini kerana buruknya, kita hilang hormat. Kata alim ulama, contohi sikap positif dan banyak mengikuti sunah Rasulullah SAW. Sesungguhnya Baginda adalah sebaik-baik manusia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");